Tanda Pagar #KerajaanGagal Trending No 1 Di Twitter: Signal Rakyat Kecewa – Puad

KUALA LUMPUR, 17 April – Dalam tempoh 24 jam tanda pagar #KerajaanGagal jadi trending nombor 1 di Twitter.

Dalam hal ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi menganggap bahawa itu adalah signal rakyat kecewa cara Perikatan Nasional (PN) memulih ekonomi dan memerangi COVID-19.

Frontliners telah bertungkus lumus selama setahun. Sudah tentu bukan salah mereka kerana mereka bertugas sehingga tinggal anak isteri, sebab itu perancangan dan dasar kerajaan yang lemah dan tidak konsisten jadi sasaran kritikan rakyat di media sosial.

“SOP PKP dan PKPB adalah isu utama kerajaan dikritik hebat oleh nitizen. SOP berat sebelah, layanan berbeza termasuk kuat kuasa yang tidak tegas,” katanya menerusi kenyataan dalam laman facebooknya berkaitan hal terbabit.

Ujarnya, kerajaan pernah disarankan supaya teruskan PKP yang ketat untuk tempoh tertentu, biar virus terputus, susah dulu, senang kemudian.

“Begitu juga kerajaan disarankan supaya kilang kilang dihadkan operasinya kerana kluster tempat kerja jadi penyumbang besar kenaikan kes COVID, tetapi kerajaan beri banyak kelonggaran atas alasan ekonomi.

“Kerajaan gagal melakukan keseimbangan antara pemulihan ekonomi dengan dasar memerangi COVID-19 yang ketat.”

Dalam hal ini beliau menyebut berdasarkan ‘vaccine tracker Bloomberg’ kadar vaksinasi di Malaysia ialah 26,524 dos setiap hari yang bermakna Malaysia perlu 4.9 tahun untuk capai tahap 75% penduduknya diberi vaksin sedangkan Indonesia perlu 3.3 tahun. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.