Puteri UMNO Gesa SKMM Bertindak Lebih Pantas, Serius Sekat Iklan Raya Promosi Judi Online

KUALA LUMPUR, 16 April – Pergerakan Puteri UMNO mendesak agar SKMM bertindak lebih pantas dan lebih serius dalam menyekat penyebaran video Iklan Raya yang sebenarnya adalah bertujuan mempromosi laman judi online.

Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan menegaskan bahawa dengan ‘viral’ video tersebut laman sosial seperti Facebook, Youtube dan WhatsApp jelas bahawa sindiket-sindiket perosak masyarakat ini makin berani mencabar undang-undang negara dengan pelbagai kaedah memangsakan orang ramai.

“Namun begitu amat mengecewakan SKMM yang punya kuasa seolah-olah ‘masih tidur’ sehinggakan video berkenaan masih tersebar dan dapat ditonton di pelbagai platform media sosial,” katanya menerusi kenyataan dalam laman facebooknya, hari ini.

Susulan isu panas berkenaan, pihak PDRM telah bertindak untuk memanggil semua yang terlibat termasuk para pelakon agar disiasat dan diheret ke muka pengadilan.

“Syabas diucapkan atas respon pantas pihak PDRM.

“Kami mahu menasihati rakan-rakan semua agar tidak memuat naik atau ‘reupload’ atau menyebarkan lagi video berkenaan di media sosial kerana sekiranya dilakukan kalian juga mungkin akan dipanggil Polis untuk tujuan siasatan.

“Kami juga bimbang, sekiranya pihak berkuasa lemah, pasti lebih banyak lagi konten-konten seumpama itu dihasilkan dan dimuat naik di laman sosial yang akhirnya akan merosakkan lebih ramai rakyat termasuk orang muda,” katanya lagi.

Terdahulu, iklan berdurasi dua minit satu saat oleh sebuah syarikat perjudian yang mengajak orang ramai menggunakan perkhidmatan syarikat itu bagi meraih wang berganda tular di media sosial.

Malah iklan perjudian berkenaan turut menggunakan khidmat beberapa pelakon dipercayai Muslim tampil dengan imej bertudung, lengkap berbaju kurung dan berbaju Melayu menerusi iklan mereka. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.