Pentingnya Ada Semak Dan Imbang Bagi Kerajaan Demokrasi – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 16 April – Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata adalah penting wujudnya semak dan imbang dalam kerajaan yang mengamalkan demokrasi.

Ujar Ahli Parlimen Pontian itu, itu adalah peranan utama di Parlimen dan juga Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Jika tidak bersidang, bagaimana ahli Parlimen dan Ahli DUN boleh berfungsi dengan berkesan?

“Dapat “elaun buta” bukan kehendak saya dan kami,” tegasnya di Twitter.

Justeru katanya, timbul persoalan apakah ada lagi alasan untuk menggantung sesi persidangan dan lantas dijawabnya sendiri sudah pasti tiada.

Dalam ciapannya yang berasingan, Ahmad juga berkata beliau merindui untuk berbahas, mencadang dan bertanya di Dewan Rakyat.

“Menteri mesti jawab apa yang ditanya. Mereka mesti ulas apa yang dicadang.

“Dalam media sosial ni tiada menteri dan kementerian/agensi yang peduli apa yang disebut,” bidasnya.

Beliau juga berpendapat ADUN-ADUN turut merindui untuk memasuki sidang DUN.

Untuk rekod, pada 3 Mac lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan kerajaan memutuskan bahawa masih tiada lagi keperluan persidangan Parlimen diadakan ketika tempoh darurat (11 Jan 2021 hingga 1 Ogos 2021) atas alasan perundangan serta analisis data dan sains mengenai kekhuatiran penularan COVID-19 di dalam bangunan Parlimen.

Manakala pada 24 Feb lalu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata perkara itu termaktub dalam subperenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Sehubungan itu, Ahmad Fadil berkata tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.