Panah-panah Fitnah Tidak Akan Melemahkan Jika Dibentengi Nilai Kesabaran – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 16 April – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata panah-panah fitnah tidak akan melemahkan jika diri dibentengi nilai kesabaran.

Katanya, di dalam diri pemimpin perlu ada sifat sabar dengan segala cabaran ditempuhi penuh berhemah.

“Kerana itu juga saya tidak pernah menganggap jawatan Presiden UMNO sebagai nikmat hidup. Sebaliknya satu amanah yang perlu digalas menjaga kepentingan agama, bangsa negara.

“Memelihara kemaslahatan parti, jutaan ahlinya dan seluruh rakyat tanpa prejudis. Insya-Allah Presiden UMNO akan tetap memimpin dengan penuh tawaduk dan kesabaran,” katanya dalam satu catatan di Facebook.

Ulasnya juga, sabar adalah perkataan yang mudah untuk diungkap tetapi kadangkala susah untuk dilaksanakan.

“Sabar bukan sahaja bererti menahan diri daripada berasa marah atau sedih. Sabar juga bermaksud menahan diri daripada nikmat dan godaan hidup. Minum itu nikmat, wang dan tidur itu nikmat, jawatan dan kedudukan juga dikaitkan dengan nikmat.

“Tetapi ada juga ‘nikmat’ memberi kesan yang merosakkan kepada diri dan sekeliling. Mampukah manusia bersabar dengan menahan diri daripada ‘nikmat’ seperti itu?

“Sifat sabar cukup hebat sehingga Allah menyebutnya dalam Al-Quran dalam banyak tempat. Antaranya Surah Al-Baqarah ayat 153; “Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar”,” katanya.

Tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, sabar juga mendekatkan diri dengan Allah yang merupakan kekuatan jiwa orang mukmin.

“Lawan kepada sabar – tamak dan gelojoh. Mereka yang tiada sabar akan bersikap gelojoh dan tamak. Gelojoh untuk memuaskan hasrat hati tanpa mempedulikan erti kebenaran dan kejujuran.

“Lawan kepada sifat sabar pentingkan diri. Tidak peduli kepada yang lain demi kemahuan diri,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.