Kefahaman Ahli Parti Penting Demi Dasar Perjuangan UMNO- Ahmad Maslan

SHAH ALAM, 16 April – Amat penting untuk ahli parti termasuk kepimpinan UMNO di Bahagian-bahagian agar memahami rangka dan strategi parti untuk pelan masa hadapan, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Sehubungan itu, beliau mengadakan pertemuan bersama setiausaha dan setiausaha Kerja UMNO Bahagian-bahagian akar umbi yang dimulakan dengan Negeri Selangor bagi memberi kefahaman lebih lanjut berkenaan parti untuk dijelaskan di peringkat bahagian masing-masing.

“Tujuan saya mengadakan pertemuan siri turun padang Setiausaha Agung UMNO ini kerana sebelum ini saya tidak dapat melakukannya ekoran prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Tapi oleh kerana saya telah divaksin dua dos dan tugas saya untuk mentadbir UMNO ini maka saya perlu datang ke negeri-negeri dan berdialog dengan setiausaha dan setiausaha kerja bahagian.

“Ini adalah untuk menjelaskan isu semasa dan dasar-dasar parti supaya dapat lebih difahami oleh mereka yang merupakan orang penting di bahagian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perjumpaan berkenaan di Pejabat UMNO Selangor yang turut dihadiri Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Kamaruzzaman Johari dan Setiausaha Kerja UMNO Selangor, Zainal Adzam Zainal Awaluddin, hari ini.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, beliau menekankan berkenaan usul-usul yang dipersetujui semasa Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang diadakan bulan lalu termasuk berkenaan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) .

“Antaranya tentang lima keputusan yang dibuat dalam perhimpunan agung berkenaan keputusan yang menyokong ucapan dasar Presiden yang, kedua adalah untuk kita meminta pilihan raya diadakan secepat mungkin, ketiga adalah mengenai kerjasama dengan PPBM dan juga sokongan kepada PN hanyalah sehingga pembubaran Parlimen.

“Yang ke empat kita ingin menggunakan jenama dan logo Barisan Nasional (BN) dan yang kelima adalah untuk mempertahan dan memperkukuh serta memantapkan Muafakat Nasional.

“Itu lima perkara dasar yang perlu disusuli setiausaha bahagian untuk difahamkan kepada ahli bahagian masing-masing,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.