Kerajaan Perlu Nilai Sehabis Baik Penggabungan Celcom Digi – Mohamad

KUALA LUMPUR, 15 April – Pada ketika persaingan semakin sengit dan kos perkhidmatan telekomunikasi tidak menampakkan penurunan nyata, kerajaan harus meminta penjelasan Celcom Digi Berhad (Celcom Digi) tentang bagaimanakah semua usaha mereka akan menguntungkan pengguna, ujar Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Begitu juga ujarnya adakah ia mampu meningkatkan kebolehsaingan industri telekomunkasi secara keseluruhan.

“Malaysia wajar mempunyai syarikat telekomunikasi bersifat global untuk meneroka potensi penawaran perkhidmatan rentas sempadan. Namun Celcom Digi nampaknya tidak dibentuk untuk tujuan tersebut.

“Medan persaingannya masih di pasaran Malaysia yang sederhana besar. Maka semua ini mewajarkan penilaian sehabis baik kerajaan tentang manfaat penggabungan ini kepada pengguna, kepentingan nasional, kedinamikan industri telekomunikasi dan kepatuhannya kepada kerangka persaingan yang sihat.

“Malaysia memerlukan pemain yang keutamaanya ialah kepentingan dan keperluan pengguna dalan era ‘Internet for Everything’. Untuk ini berlaku, persaingan yang sihat, dikawalselia dengan tekun dan liberalisasi pasaran wajar dipertimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tegas Mohamad juga, mempunyai syarikat gergasi telekomunikasi mungkin bukan satu-satunya jalan terbaik untuk mencapai tujuan tersebut.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu memberi respon mengenai Celcom Digi, entiti yang terbentuk menerusi penggabungan operasi telekomunikasi Axiata Group Bhd dan Telenor ASA di Malaysia bakal menjadi penyedia perkhidmatan telekomunikasi terbesar Malaysia.

“Walaupun rundingan ini masih berada pada peringkat ketekunan wajar, ia dijangka dimuktamadkan dalam beberapa bulan akan datang.

“Celcom Digi akan menerajui industri telekomunikasi tempatan dari segi nilai, pendapatan dan keuntungan. Ia akan menjadi peneraju pasaran dengan jumlah 19.1 juta pelanggan.

“Keputusan ini juga dijangka akan memudahkan Celcom Digi mempercepatkan pelancaran rangkaian 5G pada skala yang pantas dan menyeluruh,” ulasnya.

Namun katanya, persoalan tentang kepatuhan kepada undang-undang anti persaingan wajar diteliti dengan sebaiknya.

“Pengumuman yang hanya terfokus kepada pengabungan keupayaan syarikat demi meraih keuntungan berganda mesti diseimbangkan dengan kewajaran menggalakkan persaingan yang sihat dalam pasaran Malaysia yang tidaklah begitu besar.

“Pengumuman Celcom Digi juga wajar menjelaskan kepentingan perlindungan pengguna selepas penggabungan ini,” katanya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.