Kemeriahan Suasana Ramadan Dirindui, Keselamatan Lebih Utama – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 15 April – Suasana Ramadan seperti tahun sebelum berhadapan dengan penularan pandemik COVID-19 amat menggamit perasaan, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, seperti orang lain beliau juga merindui suasana kemeriahan berbuka puasa beramai-ramai di bulan yang mulia ini.

“Bukan sahaja dapat berkumpul dalam sebuah majlis iftar, malah beribadah bersama-sama sekali gus mengeratkan silaturahim.

“Saya masih ingat semasa saya sebagai Menteri Dalam Negeri saya turun ke setiap negeri sepanjang bulan Ramadan untuk berbuka puasa bersama pengurusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) kami berbuka puasa dengan pegawai dan anggota agensi di bawah KDN.

“Selepas berbuka puasa kami solat Isyak dan solat sunat Tarawih di masjid lain pula untuk bertemu dengan anggota masyarakat,” luah beliau menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambah Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi, majlis berbuka puasa juga secara tidak langsung membantu beliau turun padang memahami pelbagai isu berkait rakyat dengan lebih jelas.

“Kami turut membawa penceramah agama untuk menyampaikan ilmu agama khususnya berkenaan ibadah puasa kepada orang ramai.

“Saya juga masih ingat betapa meriahnya Majlis Berbuka Puasa Ahli Parlimen Bagan Datuk Bersama Anak-Anak Yatim ketika itu,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata ketika ini perkara yang lebih penting adalah penjagaan kesihatan untuk  memastikan penularan wabak COVID-19 ini dapat ditangani.

“Dalam keadaan pandemik ini ia agak berisiko kepada semua. Pada waktu ini aspek keselamatan lebih utama.

“Jika dibenarkan sekali pun pematuhan prosedur operasi standard seketat-ketatnya perlu menjadi keutamaan semua. Tidak boleh alpa lagi lalai.

“Apapun kita berdoa agar wabak ini berlalu pergi secepat mungkin. Kita merindui kemeriahan dan suasana silaturahim itu,” ujarnya beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.