UMNO Tidak Pernah Sekat Pemimpin Muda Jadi Calon PRU15
IPOH, 14 April – UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak pernah menyekat pemimpin muda menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana dari dahulu lagi beberapa pemimpin terkemuka negara pernah dilantik serta diberi kepercayaan menjadi menteri besar atau menteri pada usia muda.
Pengarah Pilihan Raya UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata proses peremajaan sering berlaku (di dalam UMNO).
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Sijil Kolaborasi Kerjasama Pintar TAJ International College bersama tujuh agensi kerajaan di sini hari ini.
Tajuddin yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO diminta mengulas kenyataan lapan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menuntut penambahbaikan dalam menyuburkan amalan demokrasi di negara ini termasuk had umur calon ahli Parlimen di negara ini disyorkan tidak melebihi 65 tahun.
Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata bagaimanapun perlu ada kombinasi antara pemimpin pelapis dan yang sudah berusia serta berpengalaman menjadi wakil rakyat untuk mentadbir negara.
“Kita memang menggalakkan orang muda yang mempunyai kelebihan dari segi fizikal dan mental tetapi mereka juga mempunyai kekurangan dari segi pengalaman jika hendak dibandingkan dengan pemimpin lama,” katanya. – BERNAMA