Lee Chong Wei Serlahkan Toleransi Kaum Dan Hormati Amalan Beragama Melalui Asuhan – Khaled

KUALA LUMPUR, 14 April – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melihat kisah perbualan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dengan anaknya menunjukkan bahawa toleransi antara kaum dan saling menghormati dalam amalan beragama itu mesti melalui asuhan.

Menurut beliau apa yang Lee Chong Wei bualkan dengan anak beliau, menunjukkan betapa beliau tidak mengambil mudah tentang perpaduan dan muafakat pelbagai kaum dan beliau menyemainya dalam asuhan kepada sang anak tercinta.

“Lee Chong Wei senantiasa menjadi teladan besar kepada bangsa dan negara.

Membaca kisah perbualan beliau dengan anaknya tentang Ramadan dan perlunya kita bertolak ansur demi masyarakat yang sejahtera sangat inspiratif.

“Pengajaran dari kisah perbualan Lee Chong Wei dengan sang anak ialah toleransi antara kaum dan saling menghormati dalam amalan beragama itu mesti melalui asuhan. Anak-anak kita adalah cerminan peribadi dan asuhan kita. Nilai yang ada pada mereka adalah nilai yang ibu bapa mereka miliki,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Dalam satu kiriman terbaru Lee Chong Wei di Facebook, anaknya, Kingston mengadu bahawa dia berasa sedih rakan-rakannya yang muslim tidak mahu makan bersamanya hari ini dan cikgu juga meminta Kingston makan jauh dari rakan-rakan lain.

Lee Chong Wei rasa bersalah dengan keadaan itu kerana tidak menceritakan kepada anaknya bahawa hari ini sudah mula berpuasa bagi seluruh umat Islam.

Tambah Khaled lagi, semua pihak juga harus begitu dengan mengasuh nilai perpaduan dan nilai terbaik dalam keluarga kerana ianya mengambil masa, serta memberitahu anak-anak tentang agama lain dan kenapa sangat penting untuk menghormati kepercayaan mereka.

“Saudara Lee Chong Wei, anda adalah antara putera terbaik negara ini. Di kala persada politik berantakan dengan retorik politik dengan nada kaum dan agama yang keras dan membimbangkan, saudara adalah suara sederhana yang sangat berpengaruh.

“Teruskan dengan cerita dan teladan yang mulia seperti ini. Rakyat Malaysia seperti saya sangat menyanjung teladan terbaik seperti yang saudara paparkan.

“Lee Chong Wei bukan sahaja rakyat Malaysia yang patriotik dan berjaya. Tetapi tindakan, pemikiran dan semangatnya adalah juga bahagian penting kepada penyuburan kesatuan dan nilai kemajmukan Malaysia.

“Sempena Ramadan yang Mubarak ini, marilah kita mengajak rakan-rakan bukan Islam kita untuk berkongsi juadah dan berbuka bersama. Kita paparkan semangat sebenar Ramdahan, yang penuh rahmat, ihsan, kebajikan dan kasih sayang, tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.