Antara Kerajaan BN, PH, PN, Darurat… BN Bertahan Kerana Kestabilan Jadi Faktor Utama – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 14 April – Sejak tertubuhnya negara ini, Malaysia telah ditadbir oleh empat buah model kerajaan, ujar Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

Katanya, empat model kerajaan tersebut adalah Barisan Nasional (BN – dahulunya dikenali sebagai Perikatan) yang telah memegang tampuk pemerintahan selama 63 tahun, Pakatan Harapan (PH) dalam tempoh 22 bulan, Perikatan Nasional (PN) 10 bulan manakala sejak Jan tahun ini negara ditadbir oleh kerajaan Darurat.

Tambah Ahli Parlimen Pontian itu, antara keempat-empat kerajaan, BN adalah yang paling lama bertahan.

“Mengapa BN bertahan begitu lama? Sebab kestabilan bersama rakyat pelbagai kaum adalah formula utama,” ciapnya di Twitter.

Begitu juga katanya kerusi yang banyak dimenangi menjadi magnet besar menarik komponen parti-parti yang lain menyertai BN.

Untuk rekod, sepanjang 63 tahun mentadbir negara, tanpa disangkal terbukti BN telah berjaya membangunkan Malaysia manakala bemula 9 Mei 2018, dengan menggunakan modus operandi fitnah dan janji-janji palsu PH mengambil alih pemerintahan negara tetapi hanya bertahan selama 22 bulan akibat perletakan jawatan perdana menterinya dan pengkhianatan daripada parti sekutu mereka.

Pada Mac tahun lalu kerajaan PN tertubuh dan akibat daripada penularan COVID-19 yang semakin membimbangkan kerajaan memutuskan agar Ordinan Darurat dikuatkuasakan bermula 11 Januari hingga 1 Ogos ini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.