Ahmad Zahid Nafi Artikel Tular Tulisannya, Gesa Hentikan Politik Jahat

KUALA LUMPUR, 14 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan sebuah artikel kononnya beliau telah memberikan amanat kepada ahli parti serta akar umbi berhubung perancangan PPBM untuk terus berkuasa.

Selaras itu, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menegaskan tidak menulis artikel terbabit atau memberi kebenaran berkaitannya.

“Ingin saya menegaskan bahawa artikel itu tidak ditulis oleh saya mahupun dengan kebenaran saya tetapi dilakukan oleh orang lain yang tidak diketahui individu berkenaan.

“Saya menyedari saban hari pelbagai fitnah dilakukan pihak tertentu bagi mengkucar-kacirkan situasi politik semasa serta memburuk-burukkan UMNO.

“Saya berharap pihak yang melakukan perkara ini menghentikan segera perbuatan politik jahat,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman facebooknya hari ini.

Dilaporkan, artikel itu juga menyebut bahawa pelbagai serangan telah diberikan ke atas Ahmad Zahid, tindakan Ahli Parlimen melompat parti, penyalahgunaan kuasa, perpaduan ummah, PRU-15 serta pelbagai intipati lain.

Dalam hal ini, Ahmad Zahid berharap agar Ramadan kali ini dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan amal ibadah bukannya menabur fitnah serta mengamalkan politik tidak matang.

“Saya menyarankan semua pihak yang mahu mendapatkan kenyataan rasmi daripada saya boleh meninjau melalui Facebook ini dan juga Telegram saya.

“Semoga semua daripada kita diberkati Allah SWT dan diterima segala amal kebaikan. Salam Ramadan almubarak,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.