Program Kebajikan Memang Jadi Tradisi UMNO, Bukan Hanya Untuk Pilihan Raya

KUALA KANGSAR, 13 April – Program kemasyarakatan dan khidmat bakti merupakan gerak kerja utama bagi UMNO dan bukannya dilaksanakan semata-mata untuk persediaan bagi berdepan pilihan raya.

Bagi Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Datin Rohayu Abdul Rajak, gerak kerja bersama rakyat telah sebati dalam UMNO namun ia dipergiatkan adalah sebagai persediaan menjurus kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata ketuanya,
Menurutnya, pendekatan sebegini merupakan salah satu cara untuk memastikan keyakinan masyarakat kepada UMNO yang berkhidmat setiap masa.

“Kita merapatkan diri dengan pengundi serta terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan seperti melakukan kebajikan dan sebagainya.

“Kita juga buat perjumpaan dengan jentera Jalinan Rakyat (JR) dan penyelaras.

“Sedia maklum Wanita sentiasa bersedia selepas PRU14 lalu, kita memulakan kerja untuk mengenalpasti status pengundi-pengundi dari sudut JR pengundi, kenderaannya serta persiapan-persiapan pusat daerah mengundi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Bahagian, Mustafa Shah Abdul Hamid turut memaklumkan, sayap itu juga menggerakkan program ziarah yang mendekati masyarakat yang kurang bernasib baik.

“Memang menjadi tradisi kita membela rakyat dan dengan kita melakukan ziarah.

“Kalau di Kuala Kangsar saya namakan sebagai ‘Pemuda UMNO Kuale Bertandang’ jadi kita bertandang ke rumah orang sakit dan kita beri sumbangan serba sedikit,” katanya.

Mustafa yang juga Exco Pemuda Malaysia berkata walaupun melakukan program sebegini namun prosedur operasi standard (SOP) sentiasa terjaga.

“Sebelum penularan wabak COVID-19, sukan memang selalu kita anjurkan tapi sekarang ini kurang sikit la sebab COVID-19 jadi hanya fokus kepada program ziarah tu,” ujarnya.

Kedua-dua mereka berkata demikian ketika ditemui pada program Gotong-royong Gelanggang Sepak Takraw Dan Perasmian Kelab Rekreasi Bendang Kering di Kuala Kangsar yang turut dihadiri Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan dan Ketua Bahagian Kuala Kangsar, Maslin Sham Razman, baru-baru ini. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.