PN Perlu Cari Formula Baharu Jana Pendapatan Negara – Puad

KUALA LUMPUR, 13 April – Kerajaan disarankan untuk mencari penyelesaian bagi menambah hasil pendapatan negara, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau juga mempertikaikan pelaksanaan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang masih dilakukan pada ketika ini.

“Maka perlu ada penyelesaiannya, kenapa teruskan dasar SST yang dilakukan oleh kerajaan PH yang ternyata gagal? Kerajaan PN patut timbang semula perlaksanaan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Apakah kerajaan PN akan menaikkan lagi had hutang negara kepada 64.1 peratus pada akhir 2021. Itu melepasi paras 60 peratus yang luluskan oleh Parlimen pada bulan Ogos 2020?

“Kerajaan PN rancang berhutang sebanyak RM95 bilion pada tahun 2021. Bermakna hutang akan naik kepada RM975 bilion berbanding RM687B sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14),” katanya.

Tambah Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat itu lagi,tidak salah untuk kerajaan memberikan bantuan kepada rakyat ketika situasi negara berdepan dengan pandemik COVID-19  namun formula baharu perlu dilakukan bagi menambah hasil.

“Menteri kanan yang jaga Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pula macam tidak kompeten untuk menarik pelabur asing.

“Minta Datuk Seri Mohamed Azmin Ali jangan tidur, kerja luar sudah kurang. Parlimen sudah lama cuti.

“Itu pun ada menteri yang tidak cukup tidur, dalam majlis boleh tidur nyenyak. Takkan nak potong gaji penjawat awam pula?” soal beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.