Persiapan Menjurus PRU15 Terus Dilaksana, UMNO Kekal Khidmat Kepada Rakyat

KUALA KANGSAR, 12 April – Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Maslin Sham Razman mengharapkan UMNO dapat mengekalkan pengaruh untuk kekal berkhidmat di Parlimen berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Katanya, persediaan gerak kerja yang teliti juga telah dilakukan dengan sebaik mungkin di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti yang disarankan kerajaan.

“Alhamdulillah kita sentiasa menang di dalam 14 siri pilihan raya sebelum ini dan kita ingin kekal sebegitu, persiapan telah dibuat bukan dari sebulan yang lepas tetapi seawal daripada kita tamat PRU14 tempoh hari.

“Sudah tentulah templat-templat lama yang sudah kita tidak perlukan lagi kita membuat pindaan.

“Kita juga sangat berhati-hati di dalam melakukan gerak kerja berpolitik supaya kita tidak menjadi kluster tambahan kepada siri wabak ini,” katanya ketika ditemui di Bukit Chandan baru-baru ini.

Sementara itu, bagi Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun beliau berkata pengalaman mematangkan jentera parti untuk berhadapan dengan PRU15.

Katanya, persiapan telah pun dilakukan untuk menghadapi pelbagai kemungkinan luar jangkaan.

“Kita bersedia pada bila-bila masa sahaja untuk berhadapan dengan PRU15, sama ada 2, 3 atau 4 penjuru.

“Kita mempunyai pengalaman bagaimana hendak menghadapi persaingan daripada pelbagai sudut dan pihak.

”Jadi insya-Allah kita akan terus memperkasakan jentera dan mengemaskini senarai terutama pengundi-pengundi putih kita yang bakal kita kenal pasti dan muktamadkan dan seterusnya kita akan pastikan mereka ini hadir dan keluar mengundi pada PRU15 nanti,” ujarnya.

Khairul berkata demikian ketika ditemui selepas Program Gerak Gempur PRU – 15 Pemuda Pasir Salak yang turut dihadiri oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan di Dewan Agro Aman Jaya, Kumpulan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri di Sungai Galah yang berlangsung baru-baru ini. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.