UMNO Siswa Simbolik Kebangkitan Anak Muda, Penentu Masa Depan Negara – Ahmad Zahid

ALOR GAJAH, 11 April – Semangat anak muda terutama UMNO Siswa untuk terus mendukung aspirasi parti harus diraikan, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ujarnya lagi, ianya bukan hanya meliputi mahasiswa yang berada di institut pengajian tinggi (IPT) malahan dalam kalangan persatuan belia.

“Saya sangat teruja dengan UMNO Siswa ini kerana telah kelihatan satu kebangkitan semula dan keberanian anak-anak muda untuk menebus kecundangan yang lalu.

“Dan saya merasa bahawa ianya berada bukan hanya di IPTA dan IPTS dan tentunya badan bukan kerajaan yang berorientasikan belia yang sebelum ini amat terjejas dengan tekanan harus bangkit semula dan kini mereka bergerak sebagai jentera utama UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Tambah Pengerusi BN itu lagi, pendekatan parti dengan mendekati golongan muda ini perlu dilakukan dengan sebaik mungkin kerana mereka merupakan penentu kepada masa depan negara.

“Apatah lagi jika mereka yang berumur 18 tahun ke atas akan mula menjadi pengundi biarpun kerajaan memutuskan hanya pada Septembner 2022 akan digerakkan pengundi 18 tahun ke atas ini.

“Namun saya merasakan ianya harus dimulakan dengan sekarang walau apa pun keadaan yang berlaku di depan nanti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pada Majlis Perasmian Penutupan Pemukiman Revatilisasi UMNO yang berlangsung di Kem Permata Resort, Alor Gajah yang turut dihadiri Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Sementara itu, Noraini yang juga merupakan Menteri Pengajian Tinggi turut memberikan pandangan sama berkenaan peranan golongan muda dalam UMNO.

“Mahasiswa memainkan peranan yang sangat penting kerana mereka ini adalah pengundi kali pertama.

“Dengan adanya Siswa UMNO ini mereka membawa suara-suara UMNO di merata tempat.

“Untuk mereka menggunakan peranan yakinkan rakan-rakan yang lain untuk bersama-sama di dalam perjuangan UMNO,” ujarnya.

Tambah beliau, UMNO Siswa ini menjadi kayu ukur bahawa parti sentiasa memberi peluang kepada kepimpinan muda untuk meneruskan agenda amanat parti.

“Perjuangan UMNO ini adalah untuk agama, bangsa dan negara dan kita menunjukkan bahawa di dalam UMNO ini sentiasa memberi ruang dan peluang kepada orang-orang muda melalui gerakan yang dibawa oleh Siswa UMNO ini,” ujarnya.– UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.