Pemilihan UMNO, Ada Atau Tidak Bergantung Keputusan MKT – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 11 April – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan bahawa ada atau tidak pemilihan parti bergantung kepada keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) kerana MKT berhak menentukan sama ada pemilihan itu akan dilaksanakan atau ditangguhkan selama 18 bulan.

Ujarnya, jika mahu diteruskan ia perlu bermula sama ada pada 10 Jun dan jika ingin ditangguhkan maka ia perlu dimaklumkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

“RoS tidak boleh menghalang kerana ia ada dalam Perlembagaan UMNO. Selalunya kita tangguhkan pemilihan ini apabila tahun pilihan raya, jadi ada orang bertanya adakah tahun ini tahun pilihan raya?

“Pada saya tahun ini adalah tahun pilihan raya kerana saya berpegang kepada apa yang disebut oleh Perdana Menteri iaitu pada kami sekitar 80 orang Ahli Parlimen, tak silap saya pada Disember lulus bacaan kali ketiga bajet iaitu 111 sokong bajet dan 108 menentang, sehari selepas itu ada makan tengahari dan Perdana Menteri menyebut kepada kami yang hadir bahawa pilihan raya pada tahun hadapan… dan itu adalah pada Disember tahun lalu yang maksudnya adalah pada tahun ini pilihan raya itu,” katanya.

Selari dengan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian menegaskan masih berpegang kepada kenyataan Perdana Menteri dan percaya tidak akan berbohong.

“Pada saya Perdana Menteri tak berbohong lebih-lebih lagi apabila bercakap kepada ahli-ahli Parlimen yang ada ketika itu dan menyokong bajet kerajaan.

“Jadi pada saya menurut kata-kata Perdana Menteri maka pilihan raya itu tahun ini, soal bila mungkin selepas darurat yang mungkin bulan lapan… maka pemilihan boleh buat selepas itu dan saya masih berpegang kepada janji Perdana Menteri.”

Beliau berkata demikian menerusi Segmen ‘Terus Terang: Kita Tanya Tok Mat Maslan’ yang disiarkan melalui laman facebook UMNO Online malam tadi.

Dalam hal yang lain, beliau turut menerangkan berkaitan hubungan UMNO dan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN) yang masih terus berjalan.

“Yang diumum adalah kita ingin memperkukuhkan Muafakat Nasional dan ingin bertanding atas tiket Barisan Nasional… maka pergilah ke PRU nanti dengan BN dan jika PAS tidak mahu bersama itu apa boleh buat kerana sepertimana mesyuarat Muafakat Nasional minggu lepas yang dihadiri oleh Timbalan Presiden UMNO, Timbalan Presiden PAS telah membuat keputusan ingin mengukuhkan Muafakat Nasional.

“Setakat ini polisi dan dasar UMNO jelas iaitu tiada Dap dan tiada PKR,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.