Bangkit 15 Terus Perkasakan Jentera Parti Pelbagai Peringkat

MELAKA, 10 April – Beberapa negeri telah selesai mengadakan pogram Bangkit 15 yang mana merupakan persediaan jentera UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jelas beliau, Bangkit 15 ini sudah bermula sejak daripada 12 Mac lagi dan bermula di dua negeri iaitu Kedah dan Perlis seterusnya di ikuti oleh Wilayah Persekutuan, Selangor, Perak, Pahang dan hari ini Negeri Sembilan, Melaka dan seterusnya di Johor.

“Program ini adalah ‘train the trainers’ yang mana kepimpinan akan turun ke bahagian masing-masing untuk ‘train’ juga ke peringkat cawangan-cawangan kerana kesiapsiagaan jentera amat penting bagi menghadapi pilihan raya.

“Latihan-latihan yang dilakukan Bangkit 15 ini semuanya adalah melibatkan aspek pilihan raya dan apa yang penting program Bangkit 15 ini adalah kesiapsiagaan mereka (ahli UMNO) dan selepas program ini berakhir saya percaya mereka bersedia untuk menghadapi pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Bangkit 15 peringkat negeri Melaka dan Negeri Sembilan di sini, malam tadi.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri (BPUN) Melaka, Datuk Seri Abu Rauf Yusoh dan Timbalan Pengerusi BPUN Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim.

Seterusnya kata Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera, UMNO mengamalkan sistem demokrasi dan setiap ahli berhak menyuarakan pandangan.

“Ini bukan perkara baru ahli bersuara… dari dulu ahli bersuara jadi apa pandangan mereka kita perlu dengar, mungkin ada yang betul dan ada yang tidak betul… Kita meraikan setiap pandangan yang dikeluarkan oleh ahli kita,” tegasnya.

Tegasnya lagi, berhubung dakwaan isu rakaman audio perbualan antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ini kenyataan beliau.

“Menerusi ‘news’ malam ini pihak polis telah memaklumkan bahawa kertas siasatan telahpun dibuka..Jadi kita serahkan kepada pihak polislah,” katanya.

Katanya lagi laporan polis perlu dilakukan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid menerusi pegawai beliau sepertimana yang dijanjikan bagi mengelakkan sebarang kesangsian.

“Saya harap… kerana Presiden kita Datuk Seri Dr Ahmad Zahid dah berjanji akan membuat laporan Polis melalui pegawai beliau, jadi saya harap perkara ini perlu disegerakan kalau tidak menimbulkan kesangsian daripada orang ramai dan spekulasi berbagai-bagai akan timbul kalau tidak membuat laporan Polis,” ujarnya – UMNO Online

Oleh : Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.