‘Road Tour’ Penerangan Wanita UMNO Sarat Maklumat, Idea Terus Perkukuh Parti – Norshida

KUALA LUMPUR, 9 April – ‘Road Tour’ Penerangan Wanita UMNO Malaysia yang menjelajah ke negeri-negeri menghampiri penghujungnya dan hanya berbaki tiga lagi negeri iaitu Wilayah Persekutuan, Terengganu dan Sabah.

Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berkata ketiga-tiga negeri berkenaan akan dilaksanakan selepas hari raya Aidilfitri dan ianya akan dilaksanakan dengan kaedah yang berlainan.

Dalam kenyataannya kepada UMNO-Online, beliau menjelaskan Pulau Pinang dan Perlis menjadi lokasi terkini ‘Road Tour’ berkenaan sebelum Ramadan.

“Alhamdulilah, selesai di Perlis dan lokasi terakhir sebelum Ramadan saya berada di Pulau Pinang. ‘Tour’ ke utara melalui tujuh jam perjalanan dari Kuala Lumpur tidak terasa letihnya kerana dapat bertemu dengan Wanita yang semangatnya luar biasa.

“Perkongsian idea serta pandangan yang sangat bernas dan tuntas dari Wanita Perlis dan Pulau Pinang sebelum ini sememangnya Wanita membuktikan apa pun ujian kepada parti, Wanita tetap terus berkhidmat serta berkerja. Tidak ada istilah terasa, mahupun putus asa,” katanya.

Kata beliau lagi begitu juga dengan Wanita UMNO negeri-negeri lain yang sebelum ini telah menjayakan dengan sebaik mungkin ‘Road Tour’ Penerangan Wanita UMNO.

“Terima kasih kepada semua yang terlibat… mengatur dan menjadikan ‘Road Tour’ ini sarat dengan pelbagai maklumat dan pelbagai idea daripada pelbagai peringkat dan inilah yang kita mahukan.

“Mengambil keberkatan menjelang Ramadan, semoga Allah sentiasa memudahkan, mengurniakan kekuatan, ketabahan buat Wanita dalam perjuangan demi agama, bangsa dan negara. Perbezaan pasti ada, tetapi yang perlu sentiasa diutamakan adalah kemuafakatan.

“Dalam apa jua keadaan saya penuh yakin dan percaya semangat Wanita tetap utuh untuk kita sama-sama berdepan serta mengharungi gelombang cabaran yang mendatang dalam satu ikatan muafakat untuk memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus mendakap kejayaan, insya-Allah,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.