Gerak Kerja Kebajikan Sudah Sebati Dengan UMNO – Rizam

KUALA KANGSAR, 9 April – UMNO sudah sebati dalam melakukan gerak kerja kebajikan kepada rakyat, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Rizam Ismail.

Menurutnya, program sebegini sudah menjadi identiti kepada parti yang tidak dapat ditandingi oleh parti politik lain.

“Seperti kita tahu UMNO ini bukan parti dogengan tapi parti yang benar-benar bekerja untuk masyarakat.

“Turun ke bawah mendekati rakyat, laksanakan macam-macam program termasuklah gotong royong misalnya yang dilaksanakan ini iaitu membaiki gelanggang sepak takraw.

“Ini adalah kerja-kerja khidmat bakti yang biasa ahli UMNO buat dan saya kira parti lain tidaklah mempunyai gerak kerja yang seperti mana kita buat selama ini lakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program ‘Gotong-royong Gelanggang Sepak Takraw dan Perasmian Kelab Rekreasi Bendang Kering’ di Kuala Kangsar baru-baru ini. Turut hadir adalah Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Chandan, Maslin Sham Razman.

Sementara itu ketika ditanya berkenaan persediaan menjurus kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Selangor berkata jentera sayap parti itu sudah bersedia.

“Alhamdulillah sekarang Pemuda UMNO Selangor telah bergerak di setiap bahagian-bahagian untuk bersedia menghadapi pilihan raya yang akan dihadapi pada bila-bila masa.

“Fokus kita adalah memperkukuhkan Muafakat Nasional di peringkat negeri Selangor dan pada masa yang sama kita bergerak untuk menjadi lidah kepada masyarakat dengan membawa permasalahan di peringkat bahagian masing-masing,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.