Ahli Parti Diseru Gerakkan Media Sosial, Tangkis Tohmahan Dan Fitnah – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 9 April – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru kepada seluruh ahli UMNO agar menggerakkan media sosial kerana pada masa ini hanya kesetiaan dan keikhlasan boleh dituntut serta perlu mara menangkis tohmahan dan fitnah.

Kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, jika ahli parti idak menangkisnya, perspektif negatif akan terus dimainkan pihak lawan untuk menahan UMNO daripada bangkit.

“Ahli UMNO sangat memahami. Dunia digital hari ini semuanya boleh dibuat-buat. Video, foto dan panggilan suara boleh direka kerana sudah ada aplikasi.

“Apa yang saya minta adalah tangkis tohmahan dengan fakta yang tepat dan bukannya menabur fitnah. Kepimpinan UMNO tidak seperti mereka.

“Media sosial. Ini zaman dunia digital. Dalam kebaikan yang boleh diperoleh terselindung juga keburukan jika niat kita tidak baik ketika menggunakan media sosial,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Ulasnya lagi, BN tewas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018 angkara media sosial.

“Pelbagai dakyah, fitnah, perspekif negatif dan cerita tokok tambah diada-adakan pihak lawan untuk menjadikan rakyat benci kepada UMNO serta BN. Ia berterusan hingga kini.

“Apabila mereka menang PRU-14, maka rakyat menilai apa yang mereka lakukan. Inilah yang dikatakan pemerintahan dan kemenangan berasaskan fitnah,” bidasnya.

Tambahnya lagi, sehinggakan pada masa itu sebuah parti politik menawarkan peluang pekerjaan kepada ‘cybertrooper’ dengan bayaran ribuan ringgit sebulan.

“Mereka iklankan pekerja menggunakan Jobstreet. Misi mereka memburuk-burukkan UMNO dan menyebarkan fitnah.

“Ia masih berlarutan sehingga saat ini. Walaupun UMNO hanya membentuk kerajaan dan tiada kuasa pemerintahan mutlak, mereka masih melakukan perkara sama. Kerana apa, tidak mahu kita bangkit, mahu melemahkan kita dan mahu terus memastikan rakyat membenci kita,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Sedangkan ujarnya, rakyat sudah menilai pengorbanan dan sumbangan BN pada agama, bangsa dan tanah air dengan kepimpinan 22 bulan dan setahun.

Justeru katanya, ahli UMNO sangat memahami mengenai keadaan UMNO, kewangan dan situasi parti pada saat ini.

“Kita dihalang, dibekukan akaun dan ada usaha untuk membubarkan parti,” tegasnya. – UMNO ONLINE