Pahang Komited Pertahankan Muafakat Nasional, Terbukti Mampu Capai Kejayaan Cemerlang – Fakhruddin

KUANTAN, 8 April – Pahang sentiasa berada di hadapan dan menjadi pelopor dalam penyatuan ummah ini sebagaimana terbukti ketika Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands dan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini apabila memperoleh kejayaan yang cemerlang berkat penyatuan kerjasama dan muafakat dua parti terbesar orang Melayu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia negeri Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, penyatuan Muafakat Nasional (MN) terserlah dalam urusan pentadbiran kerajaan dan persidangan Dewan Negeri di mana sokongan daripada Ahli Dewan Negeri Barisan Nasional (BN) dan PAS berjaya mencapai 2/3 undi daripada 42 kerusi Dewan Negeri Pahang bagi meluluskan Rang Undang -Undang.

“Ini jelas membuktikan MN mampu membawa banyak kebaikan kepada agama, bangsa dan tanahair. Orang-orang Melayu di Pahang semakin bertaut kasih sayang di antara mereka.

“Pelbagai kerjasama yang menguntungkan bangsa dan agama dapat dilaksanakan. Kaum-kaum lain di negeri ini tidak pernah dipinggirkan sama sekali malah semakin berasa selesa dan mendapat banyak kebaikan dari kerjasama ini.

“Jika kita toleh sejenak ke belakang, usahlah kita lupa betapa bukan mudah untuk menyatukan ummah di bawah gagasan MN. UMNO dan PAS atas kepentingan ummah di masa maruah bangsa dan agama tercalar serta ditekan ketika itu telah sanggup melupakan sengketa yang lama untuk kembali duduk semeja dan bertaut,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar itu dalam satu kenyataan.

Fakhruddin juga mengingatkan telah lama orang-orang Melayu bersengketa dan tidak sepakat.

“Kita semua semakin muak dan benci akan perpecahan sebelum ini yang hanya merugikan bangsa dan agama kita. Dengan doa yang ikhlas dan suci maka akhirnya, Allah SWT menghadirkan MN yang menjadi pelopor kepada penyatuan ummah berpaksikan hati yang jujur lagi tulus. Adakah kita lupa akan nikmat yang Allah hadirkan ini.

“Berfikirlah sebaik mungkin dengan jelas dan sepenuh hati demi kepentingan untuk kita terus mempertahankan MN. Janganlah kita ulangi lagi kesilapan lalu, sayanglah perpaduan ummah ini.

“Jangan sampai kita ditipu lagi hingga akhirnya maruah agama dan bangsa kita kembali tercalar. Akar umbi termasuk golongan anak muda mahukan perpaduan ummah ini terus diperkasakan. Dengarlah juga isi hati mereka,” serunya lagi.

Maka seharusnya tambahnya, semua pemegang taruh di negeri Pahang tanpa ragu dan berselindung lagi hendaklah mempertahankan MN demi maruah agama Islam, bangsa Melayu dan tanah air.

Baru-baru ini, Jawatankuasa Veteran UMNO Pahang diketuai Pengerusinya Datuk Seri Ishak Muhamad dan As Sabiqun PAS Negeri Pahang diketuai Pengerusinya Ismail Mohamad telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri di Dewan MB, Jalan Teluk Sisek di sini.

Dalam pertemuan tersebut, agenda penyatuan ummah terus menjadi keutamaan dalam usaha memastikan hubungan yang terjalin di antara PAS dan UMNO di Pahang selama ini akan terus diberi keutamaan dan dipertahankan sepenuhnya.

Malah memorandum persefahaman juga telah ditandatangani kedua-dua pihak semalam sebagai bukti menyokong penuh serta berdiri teguh di belakang kepimpinan menteri besar mentadbir negeri dan memperkasakan MN di bumi Pahang.

Justeru kata Fakhruddin yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Pekan, beliau menyatakan komitmen berdiri teguh di belakang menteri besar dan beristiqomah dengan sepenuh hati untuk terus memperjuangkan dan mempertahankan MN di negeri itu.

“Demi masa depan ummah, kepimpinan PAS juga perlu menyatakan pendirian jelas untuk terus bersama-sama mempertahankan MN sepenuhnya seperti sebelum ini. Berbincanglah dari hati ke hati kerana kita telah membuktikan kita mampu melakukannya.

“Semoga Allah SWT sentiasa merahmati dan mempermudahkan segala usaha menteri besar bersama kepimpinan UMNO dan PAS di negeri Pahang dalam usaha mempertahankan dan memperkasakan MN di bumi bertuah Pahang ini. Sama-sama kita mendoakanya,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.