Makin Dekat PRU15, Makin Banyak Isu Akan Timbul – Tajuddin

KUALA LUMPUR, 8 April – Bermacam isu yang akan timbul membabitkan parti ketika menghampiri Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Menurutnya, jentera dari segi penerangan amat penting ketika ini untuk menjelaskan kembali isu yang dibangkitkan bagi memastikan agenda segelintir pihak yang mahu menimbulkan kekacauan dalam parti dapat ditangani.

“Supaya kita boleh memperjelaskan sesetengah isu-isu yang perlu diterangkan kepada pengundi ia kena terangkan.

“Maklumlah hendak menghadapi pilihan raya ini banyak saja orang-orang yang hendak memporak-perandakan parti kita ini dengan cerita-cerita yang pelbagai.

“Cerita-cerita ini yang boleh menyebabkan orang ramai atau pun pengundi memandang serong kepada parti kita jadi jentera penerangan UMNO kena main peranan untuk menjelaskan semua isu-isu ini supaya mereka faham apa yang kita bawa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Gerak Gempur PRU – 15 Pemuda Pasir Salak yang turut dihadiri oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan di  Dewan Agro Aman Jaya, Kumpulan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri di Sungai Galah yang berlangsung baru-baru ini.

Tajuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak turut memaklumkan bahawa segala persiapan telah dilakukan untuk menghadapi PRU15.

“Kita sudah buat persiapan awal dah, Wanita UMNO Bahagian buat kaji sikap menjejaki pengundi sejak tahun lepas lagi.

“Saya ingat sudah dua tahun mereka buat kerja. Sekarang kita hendak meneruskan itu dengan melengkapkan sebaik mungkin,” ujarnya. UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.