Jadikan Perjuangan ‘Abata’ Sebagai Pegangan Utama – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 8 April – Perjuangan untuk agama, bangsa dan tanah air (abata) hendaklah dijadikan pegangan utama bagi semua pendukung parti, kata Setiausaha Agung Datuk Seri Ahmad Maslan.

Menurutnya, beliau seringkali menekankan prinsip berkenaan dalam kalangan ahli UMNO agar ianya dijadikan pembakar semangat kepada mereka untuk meneruskan perjuangan.

“Abata ini juga adalah pegangan dalam hidup saya.

“Saya di dalam kursus-kursus selalu menyebut bahawa di dalam perjuangan UMNO ini adalah perjuangan abata, jadi kita kena teruskan berjuang,” katanya menerusi satu hantaran video di Facebooknya.

Tambah Ahli Parlimen Pontian itu lagi, UMNO adalah sebuah parti keramat kerana telah menempuhi pelbagai ujian yang menjadi penanda aras kepada keutuhan parti.

“Mudah-mudahan Allah merestui perjuangan kita bahawa parti UMNO ini parti keramat.

“Cuma lihat bagaimana 16 orang cuba untuk mengharamkan UMNO tapi telah ditolak 5-0 oleh lima hakim Mahkamah Persekutuan,” ujarnya.

Sementara itu, menerusi hantaran sebelumnya, Ahmad turut berkongsi berkenaan mesyuarat jawatankuasa Muafakat Nasional (MN) yang diadakan Rabu malam.

Katanya, hasil daripada perbincangan yang dilakukan di antara kepimpinan UMNO dan PAS telah bersetuju untuk memperkukuhkan MN di semua peringkat.

“Mesyuarat Jawatankuasa MN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur telah dipengerusikan oleh Timbalan Presiden UMNO dan PAS.

“Bersetuju agar MN terus dimantapkan di semua peringkat.

“Selaras dengan usul yang dilulus semasa Perhimpunan Agung 2020 dan Mesyuarat PAS yang diadakan baru-baru ini, moga diberkati Allah jua,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.