Ubahsuai Ekzos: Memadai Disaman Tanpa Disita Kenderaan… Bengkel Juga Perlu Dikenakan Tindakan

KUALA LUMPUR, 7 April – Media melaporkan polis mengeluarkan 71,127 saman atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Khas Ubahsuai Ekzos kenderaan yang bermula 1 hingga 31 Mac lalu.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berkata, beliau difahamkan 4,926 saman telah dikeluarkan ke atas pemilik motosikal kerana mengubahsuai ekzos, 1,627 saman kepada pemilik kereta dan 401 saman terhadap lain-lain kenderaan.

“Saya merasakan saman yang dikenakan itu cukup memadai dan boleh memberikan pengajaran kepada mereka supaya mengikut undang-undang yang sudah ditetapkan.

“Bagaimanapun saya tidak bersetuju apabila menerusi operasi khas itu menyaksikan 2,696 motosikal, 66 kereta dan 19 kenderaan lain disita.

“Alasan yang diberikan adalah ia bagi tujuan pemeriksaan dan akan diserahkan semula selepas kenderaan diubah suai kembali kepada spesifikasi asal,” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam tadi.

Jelasnya, seperti yang pernah dinyatakan pada 10 Mac lalu di dalam postingnya juga, beliau berharap pihak berkuasa sekadar mengenakan saman kepada mereka yang ingkar dan tidak perlu untuk menyita kerana kemungkinan hanya itu kenderaan yang dimiliki mereka untuk keluar bekerja.(https://www.facebook.com/188294724642446/posts/2015601335245100/)

“Lagipun dalam situasi ekonomi serba mencabar, bertolak ansurlah ketika mengenakan hukuman dan fikirkanlah keadaan rakyat yang kian terdesak.

“Kerajaan juga perlu bertindak adil. Jika mahu mengambil tindakan terhadap pemilik kenderaan maka tindakan saman juga perlu dibuat kepada pemilik bengkel yang membenarkan aktiviti mengubahsuai kenderaan,” tegas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Bidasnya lagi, jika dibandingkan ekzos motosikal dengan pemandu mabuk, ternyata pemandu mabuk lebih membahayakan dan begitu juga individu yang menggunakan kenderaan curi bagi melakukan jenayah. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.