Bincang Sebaiknya, Usah Terburu-buru Beri Pandangan Berkenaan Parti – Musa

KUALA LUMPUR, 7 April – Kesepakatan dalam kalangan pemimpin dan ahli parti amat penting untuk memastikan kemaslahatan parti terjaga, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Beliau berkata, ini kerana UMNO kuat berpunca daripada pegangan oleh akar umbi yang sentiasa menjadi pendokong kepada perjuangan parti.

“Kita duduk sama-sama bincang, kita ini sebagai satu keluarga dalam UMNO.

“Tapi apabila pelbagai pandangan terbuka yang dilemparkan, orang nampak macam kita berpecah. Padahal kita tidak lemah, kita kuat,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Musa yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata sebarang ketidakpuasaan hati terutama terhadap kepimpinan tertinggi haruslah mengikut lunas demokrasi sedia ada.

“Kalau kita tidak puas hati dengan presiden duduk bincang elok-elok mengapa kita mesti buat kenyataan-kenyataan yang memburukkan lagi UMNO.

“Sampai pemilihan parti lawanlah. Hendak lawan jadi presiden ke timbalan presiden atau apa jawatan, dalam parti demokrasi… lawan la.

“Tapi sekarang ini kena fikirlah hendak Pilihan Raya Umum ke-15,” tegasnya.

Tambah beliau, sikap terburu-buru dalam memberikan pandangan akan memberikan imej yang tidak baik kepada parti.

“Apa sahaja keputusan yang dilakukan semasa Perhimpunan Agung UMNO itu, kita kena bincang balik dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

“Jadi MKT kena buat keputusan sebab mandat telah diberi kepada presiden dan MKT jadi kita boleh bincang yang terbaiklah.

“Tapi kita janganlah melatah terburu-buru perkara ini kalau kita bercakap bagi macam-macam pandangan dia akan jadi satu masalah kepada parti,” katanya.

Menerusi perhimpunan agung yang berlangsung pada hujung minggu lalu, menyaksikan perwakilan telah bersetuju untuk memberikan mandat kepada presiden dan MKT UMNO untuk menentukan tarikh penarikan diri parti dari kerajaan Perikatan Nasional. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.