Undi 18 Dan Daftar Pemilih Automatik Wajar Disegerakan – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 6 April – Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan mengulangi gesaan ramai pihak agar Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik wajar disegerakan.

Ciapnya di Twitter, angka yang ditunjukkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan 4.4 juta rakyat berumur 21 tahun ke atas masih belum mendaftar sebagai pengundi.

“Maka daftarkan mereka secara automatik secepat mungkin, bulan Julai ini seperti yang dijanji kerajaan.

“1.2 juta 18 tahun ke 20 tahun, daftarkan juga,” tegas Ahli Parlimen Pontian itu.

Sebagai rekod, pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi Undi 18 dan pendaftaran pengundi secara automatik telah mendapat sokongan penuh kesemua Ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Julai 2019 lalu.

Manakala pada 3 Nov tahun lepas di dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dijangka dapat dilaksanakan selewat-lewatnya pada Julai tahun ini.

Walaupun begitu, Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 25 Mac lalu berkata bersandarkan kepada situasi semasa negara ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19, terdapat kekangan SPR bagi melaksanakannya dan dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun hadapan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.