Penunggang Basikal, Jaga Diri Dan Sayangilah Nyawa – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 6 April – Prihatin dengan keselamatan penunggang basikal, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihati agar mereka berhati-hati melakukan aktiviti berkenaan.

Katanya, adalah lebih baik jika mereka melakukan aktiviti riadah ini di kawasan yang tidak berisiko dan terdedah kepada bahaya.

“Jika mahu berbasikal di jalan raya, pastikan memilih masa bersesuaian dan elakkan berada pada waktu puncak iaitu ketika orang ramai mahu pergi dan pulang bekerja. Pastikan juga mengayuh di tepi jalan bukannya di lorong tengah ataupun paling kanan.

“Lagipun, peminat sukan berbasikal juga tahu keadaan jalan raya di Lembah Klang. Terlalu banyak jalan yang berlubang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Malah kata Pengerusi Barisan Nasional itu lagi, beliau percaya sekiranya perkara tidak diingini berlaku nescaya tiada pihak yang akan bertanggungjawab melainkan terjadi kepada golongan ternama.

“Jika pengayuh basikal terjatuh ke dalam lubang, saya percaya agensi yang terlibat dalam mengendalikan jalan tidak akan memohon maaf melainkan anda adalah seorang menteri.

“Maka, jagalah diri dan sayangilah nyawa. Apa yang penting elakkan berada di kawasan trafik sesak kerana ia boleh mengganggu kelancaran lalu lintas,” tegas beliau.

Melalui hantaran sama beliau turut berkongsi video viral yang memaparkan gelagat dua penunggang yang mengayuh basikal dalam keadaan bahaya.

“Saya percaya jika lori itu berhenti secara mengejut, kedua-dua penunggang ini pasti terjerumus ke bawah lori.

“Saya menasihatkan kepada peminat sukan berbasikal pilihlah lokasi kayuhan yang bersesuaian. Aktiviti ini lebih elok dilakukan di kawasan yabg tidak berisiko dan terdedah kepada bahaya.

“Maka, jagalah diri dan sayangilah nyawa. Apa yang penting elakkan berada di kawasan trafik sesak kerana ia boleh mengganggu kelancaran lalu lintas,” katanya. –UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.