Pemuda UMNO Pahang Bersedia Hadapi PRU Dalam Apa Jua Keadaan – Farid

KUALA LUMPUR, 6 April – Pemuda UMNO Negeri Pahang bersiap sedia sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan pada bila-bila masa dan apa yang penting hari ini parti terus-menerus berkhidmat kepada rakyat dalam apa jua keadaan dan situasi.

Ketuanya Mohd Farid Mohd Nor berkata semua persediaan yang merangkumi pelbagai aspek dan perancangan dilaksanakan bagi membantu parti dalam menghadapi PRU yang akan datang.

“Saya ingin menyatakan bahawa Pemuda UMNO dan Pemuda Barisan Nasional (BN) negeri Pahang senantiasa bersiap sedia ‘prepare for the wors’ (bersiap sedia untuk menghadapi masalah) dan mengharapkan yang terbaik. Apa yang penting adalah persiapan kita untuk menghadapi pilihan raya,” katanya kepada UMNO Online.

Ujar Farid, pemuda UMNO Pahang akan sentiasa menyantuni setiap pengundi dan memberikan segala penerangan tentang BN di pelbagai peringkat mengapa parti berkenaan diperlukan untuk memerintah negeri tersebut.

“Pemuda UMNO Pahang akan terus melipat gandakan usaha bagi memastikan setiap pengundi yang kita kenali, santuni serta memberikan penerangan kenapa BN di negeri Pahang ini perlu untuk terus disokong dan didokong supaya agenda pembangunan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat serta agenda untuk berkhidmat kepada semua dapat diteruskan.

“Kita harus bersiap sedia dalam setiap keadaan berkemungkinan sama ada bertanding secara ‘solo’ atau sebaliknya. Yang penting Pemuda UMNO Pahang bersiap sedia,” katanya lagi.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Lipis mengharapkan terutamanya Muafakat Nasional dapat dipertahankan dan sekaligus menjadi wadah untuk menghadapi pilihan raya akan datang. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.