Syarikat E-Hailing Diseru Permudahkan ‘Rider’ Dapatkan Perlindungan Sewajarnya – Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR, 5 April – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyeru syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing agar mempermudahkan proses bagi melayakkan ‘rider’ (pemandu motorsikal) e-hailing untuk mendapatkan perlindungan yang sewajarnya.

Menurut Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, beliau difahamkan bahawa mereka mengalami kesulitan untuk mendapatkan perlindungan semasa bekerja seperti perlindungan sosial Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan insurans atau takaful.

“Perlindungan ini amat penting bagi mereka kerana pekerjaan ini melibatkan risiko yang tinggi seperti kemalangan jalan raya sehingga boleh menyebabkan kematian.

“Menurut mereka, hampir setiap hari ada sahaja berita kematian penunggang motosikal yang membuat penghantaran barangan dikongsikan dalam grup media sosial di kalangan pemandu e-hailing.

“Rata-rata mereka mengadu bahawa pihak syarikat e-hailing tidak memberikan penerangan yang lengkap akan kepentingan skim perlindungan yang ada serta terbeban dengan keperluan birokrasi untuk melayakkan diri dalam skim yang ditawarkan,” ujarnya dalam satu entri di Facebook pagi ini.

Perkara demikian dibangkitkan oleh Dr Asyraf setelah mendapat input hasil dari perbualan santai dengan kira-kira 30 anak-anak muda di Puchong kelmarin yang terdiri daripada ‘rider’ aplikasi e-hailing yang mengadu nasib akan kebajikan mereka.

Ulas Dr Asyraf, semakan Pemuda UMNO ke atas dasar perlindungan dua buah syarikat e-hailing utama iaitu Grab dan Food Panda mendapati kedua-duanya mempunyai skim perlindungan insurans harian serendah RM1/hari dan ada yang boleh memohon faedah perlindungan PERKESO.

“Mengambil kira kesan pandemik COVID-19 pada ekonomi negara serta ratusan ribu yang kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan, rakyat terpaksa bergantung harap kepada pekerjaan ‘gig-economy’ seperti pemandu e-hailing bagi menyara diri dan keluarga.

“Pun begitu, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menghadapi wabak pandemik ini juga meningkatkan penggunaan perkhidmatan penghantaran makanan dan barangan terus ke pengguna, sekaligus meningkatkan pendapatan syarikat penyedia e-hailing,” katanya.

Tambah Dr Asyraf, sumbangan mereka pada rakyat Malaysia perlu dihargai oleh semua dan justeru itu, permudahkanlah dan jangan dipersulitkan kebajikan mereka. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.