Realisasikan Saranan Jangan ‘Tembak’ Kaki Sendiri – Shah Zanuriman

KUALA LUMPUR, 5 April- Ketua Pemuda UMNO Selayang Shah Zanuriman Nuar berkata saranan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan agar masing-masing tidak ‘menembak’ kaki sendiri di media sosial dan sebagainya adalah satu kenyataan yang perlu dihayati sepenuhnya.

Menurut beliau memang jelas perbuatan berkenaan bukan sahaja tidak menguntungkan parti malah memberi keuntungan kepada musuh-musuh politik UMNO dan Barisan Nasional (BN) khususnya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Saya amat setuju dengan saranan Tok Mat, Timbalan Presiden UMNO agar kita tidak menembak kaki sendiri di media sosial.  Segala perbuatan itu tidak menguntungkan UMNO dan Barisan Nasional malah menguntungkan mereka yang mahu mentalkinkan UMNO/BN.

“Kita fokus dengan kerja kearah merealisasikan keputusan parti yang kita sendiri angkat hingga ke peringkat tertinggi. Jangan jadi umpama ‘rumah siap pahat berbunyi’,” katanya menerusi catatan di Facebook, di sini, hari ini.

Jelas beliau lagi jika masing-masing tidak mahu menghormati apa yang telah diputuskan siapa lagi yang akan berbuat sedemikian.

“Kalau kita sendiri tak mahu hormati keputusan kita buat sendiri, siapa lagi? Kalau kita tak nak bermula sekarang untuk merealisasikan kehendak yang kita persetujui sendiri, bila lagi?,”ujarnya.

Dalam pada itu beliau turut memberitahu Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Selayang sudah menggerakkan kempen #BNIsBetter dan sentiasa meneruskan ‘engagement’ dengan rakan-rakan strategik seiring dengan hala tuju yang telah ditetapkan.

“Sebagai sebuah organisasi yang mengangkat demokrasi sebagai tunjang parti, kita perlu menghormati keputusan yang telah dipersetujui oleh kita sendiri. Di peringkat pemuda bahagian kita dah setuju untuk menolak kerjasama dengan PPBM melalui mesyuarat perwakilan pemuda.

“Di peringkat UMNO bahagian kita dah bersetuju untuk menolak kerjasama dengan PPBM melalui mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian.  Di peringat UMNO Malaysia kita dah bersetuju untuk menolak kerjasama dengan PPBM melalui Perhimpunan Agung UMNO.

“Dan kita bersetuju untuk menyokong desakan PRU15 disegerakan atas melihat kelemahan kerajaan mentadbir negara supaya tidak sampai ke peringkat tak boleh diselamatkan lagi. Serta kita juga setuju untuk menjadikan Barisan Nasional sebagai platform pada PRU15. Akhir sekali kita juga telah bersetuju untuk memperkukuhkan Muafakat Nasional sebagaimana yang dipersetujui sebelum ini,” tambahnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.