Pelan Pemulihan Ekonomi Perlu Dirangka, Jadikan Sebagai ‘Patriotisme Economic’ – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 5 April – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan dalam situasi pandemik COVID-19 yang belum berakhir, alangkah elok jika Pelan Pemulihan Ekonomi (PPE) dapat dirangka dan diserap sebagai ‘patriotisme economic’ bagi memulihkan negara bangsa.

Ujar Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, beliau melihat pada saat ini orang ramai dan pakar boleh menyumbangkan idea tentang apa yang boleh dilakukan bagi menghidupkan semula sektor ekonomi sekaligus menyemarakkan pembangunan negara.

“Jika dahulu kala, negara tidak mencapai kemajuan seperti hari ini dan aspek patriotisme lebih terarah kepada perjuangan kemerdekaan, konfrontasi dan ketenteraan. Namun, perubahan dimensi masa menyaksikan patriotisme yang dituntut adalah bagaimana kita mahu memulihkan negara.

“Boleh saya katakan ekonomi negara ketika ini tenat dan kita tidak boleh bergantung harap hanya pada kerajaan. Maka dalam situasi yang serba mencabar, rakyat boleh menzahirkan ilham bagaimana mahu memulihkan ekonomi dengan kerajaan wajar menerima buah fikiran mereka,” katanya dalam satu catatan di Facebook.

Jelas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, inilah yang beliau maksudkan mengenai ‘patriotisme economics’.

“Jika selama ini semangat patriotik hanya dapat dilihat ketika sambutan hari kemerdekaan ataupun apabila atlet menyumbangkan pingat dalam temasya sukan.

“Tetapi apabila ekonomi makin ranap, saat inilah ‘patriotisme economic’ amat diperlukan. Masihkah ahli UMNO semua ingat bagaimana Tunku Abdul Rahman pada saat mahu menuntut kemerdekaan? Ketika itu rakyat dengan seluruh jiwa dan raga mengorbankan wang ringgit bagi memastikan Tunku tiba di London,” katanya.

Begitu juga ketika memberikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) minggu lalu, beliau turut menekankan mengenai ‘patriotisme economic’.

“Ahli-ahli UMNO sekalian. Malaysia sudahpun merdeka namun keadaan ekonominya sangat genting. Maka saya menuntut sahabat saya sekalian, zahirkanlah buah fikiran anda untuk memulihkan negara ini. Kita sayangi Malaysia.

“Sesungguhnya kehadiran COVID-19 memberi kesan yang besar kepada ekonomi dan sosial. Pembangunan yang dirancang tergendala dan banyak perniagaan terpaksa ditutup. Inilah masa untuk menyumbang dan membuktikan kecintaan pada negara,” katanya.

Seterusnya Ahmad Zahid turut mengambil contoh pada 1935, Amerika Syarikat mengalami depresi ekonomi lalu Presiden Roosevelt melaksanakan Work Progress Administration (WPA).

“Bersama-sama rakyat, mereka berjaya memulihkan negara dan mewujudkan banyak peluang pekerjaan. Kita juga boleh dan mampu,” gesanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.