Jalinan Ukhuwah Santai Bersama Rakyat, Lebih Istimewa – Shahril

IPOH, 5 April – Merapatkan ukhuwah dengan melakukan program yang lebih santai merupakan kaedah yang lebih mesra untuk mendekati ahli parti dan rakyat, kata Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan.

Sepanjang dua hari kunjungan mesra ke Perak, beliau berkata berpolitik tidak membataskan dengan hanya melakukan perbincangan yang bersifat lebih serius.

“Saya anggap istimewa kerana ramuan program yang berbeza, ada program tradisi UMNO yang mana Ketua Penerangan UMNO beri penjelasan kepada ahli.

“Ada juga program yang kita lebih santai bersama ahli dan rakyat contoh mandi air terjun di Sungai Lata Kekabu.

“Di mana itu saya ambil sebagai pengalaman yang indah, kita mengingatkan bahawa walau apa pun kita berpolitik. Ada waktu di mana kita boleh merapatkah ukhuwah dengan aktiviti-aktiviti lebih santai yang menekankan jalinan persahabatan antara kita,” katanya.

Tambah Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia itu lagi, pengisian pertemuannya kali ini juga membawa lembaran baharu apabila buat julung kalinya program ‘Sambung Yang Tergendala’ yang dilaksanakan oleh beliau telahpun berjaya dibentangkan yang menfokuskan kepada jaminan peluang pekerjaan.

“Ada juga ramuan program siri program pertama ‘Sambung Yang Tergendala’ di mana kita cuba membentangkan cadangan-cadangan dasar pertimbangan untuk tatapan rakyat bukan hanya pada ahli.

“Tentang cadangan idea jaminan pekerjaan dengan pengalaman edisi pertama itu, insya-Allah kita akan pergi ke negeri-negeri lain untuk bentang idea sama atau idea baharu.

“Kita juga dapat maklum balas, apa sahaja cadangan akhir kita nanti kita boleh cakap ini adalah pandangan yang telah diuji oleh pemegang taruh dan rakyat,” jelas beliau.

Kelmarin, Shahril melakukan kunjungan dua hari beliau ke Perak yang mana ianya merupakan pertemuan pertama beliau bersama rakyat khasnya ahli parti pasca Perhimpunan Agung UMNO dalam memberikan penerangan berkenaan ketetapan yang telah dilakukan parti. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.