Berbeza Ideologi Politik, Exco Perak Profesional Jaga Amanah Rakyat – Saarani

IPOH, 5 April – Barisan Exco kerajaan negeri Perak bersikap profesional dalam melaksanakan amanah yang diberikan rakyat, kata Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak berkata, walaupun mempunyai pegangan ideologi politik yang berbeza namun ianya tidak membataskan usaha mereka dalam menjaga kebajikan rakyat di negeri ini.

“Kerajaan sedia ada yang mana dalam negeri ini Menteri Besar daripada UMNO berserta lima Exco, tiga Exco daripada parti Bersatu dan ada dua Exco PAS.

“Kita masih lagi hadir mesyuarat Exco yang sama, membuat keputusan secara bersama dan melaksanakan keputusan yang ditetapkan itu.

“Kita masih lagi profesional, dia umpama pemain bola sepak yang mana dia sudah tahu bahawa dia akan berpindah ke pasukan lain tapi untuk pasukan itu dia masih lagi bermain sebab dia masih lagi pemain di pasukan itu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sesi Wawancara CEPUMAS yang disiarkan di Facebook UMNO Online bersama Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan, yang berlangsung malam tadi.

Saarani yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan malah menambah, bahawa perkara yang lebih utama pada ketika ini adalah mengekalkan kerajaan negeri sedia ada kerana ianya dibentuk dengan kestabilan.

“Jadi sama juga dengan situasi ini kita tidak tahu apa yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 tapi buat masa ini kita telah diberi mandat untuk menjadi kerajaan.

“Saya ingatkan pada diri saya dan pada barisan Exco yang ada bahawa kita ada tanggungjawab kepada rakyat.

“Bukan sahaja kepada parti tetapi juga kepada rakyat, jadi dengan angkat sumpah yang kita telah buat di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah maka kita tidak boleh mengabaikan rakyat,” ulas beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.