Program Kemasyarakatan Bukti Ahli Akar Umbi Aset Parti – Shahril Hamdan

KUALA KANGSAR, 4 April – Program-program kemasyarakatan merupakan tunjang sebenar dalam menyatupadukan ahli akar umbi dalam parti, kata Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan.

Menurutnya, ini membuktikan bahawa ahli parti peringkat akar umbi komited untuk sama-sama mendekati rakyat dalam melakukan khidmat bakti.

“Bahawa program aktiviti seperti ini gotong royong dan sebagainya yang sebenarnya menghidupkan UMNO.

“Menunjukkan bahawa UMNO satu-satunya parti yang mana rangkaiannya itu sampai ke bawah.

“Cukup bagus untuk kita bina kepimpinan di peringkat masyarakat. Kadang kami di peringkat pusat dan negeri sibuk dengan hal-hal yang besar tapi khidmat sebegini kita tidak pernah lupakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan pada program Gotong-royong Gelanggang Sepak Takraw Dan Perasmian Kelab Rekreasi Bendang Kering di Kuala Kangsar, turut hadir adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Chandan, Maslin Sham Razman.

Shahril yang juga merupakan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia berharap program seumpama ini mampu melahirkan sikap kepimpinan dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan muda.

“Yang mana kita bukan hanya bercakap tentang politik sahaja, aktiviti kemasyarakatan kalau kita teruskan usaha-usaha seperti ini walaupun program ini kecil walaupun tidak sebesar mana.

“Alhamdulillah boleh diteruskan dan saya nampak pelapis kepimpinan boleh menggunakan program seperti ini sebagai inspirasi untuk menaikkan kemahiran meningkatkan kemahiran pimpinan organisasi masing-masing,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib