Fadzil Letak Jawatan Pegawai Khas MB, Elak Hubungan UMNO Dan PAS Kedah Retak

KUALA LUMPUR, 4 April – Ketua Pemuda UMNO Negeri Kedah, Mohd Fadzil Zolkipli hari ini meletakkan jawatan sebagai Pegawai Khas Menteri Besar Kedah.

Pada sidang medianya hari ini, beliau menegaskan keputusan berkenaan diambil atas semangat Muafakat Nasional (MN) di negeri berkenaan selain dibimbangi isu yang timbul sebelum ini akan menyebabkan hubungan antara UMNO dan PAS retak.

“Selepas pertimbangan, perbincangan dan kepentingan semangat MN di negeri Kedah, disertai dengan bimbang isu ini akan menyebabkan hubungan antara UMNO dan PAS retak, dingin maka dgn ini saya meletakkn jawatan Pegawai Khas YAB MB Kedah berkuatkuasa serta merta.

“Saya telah menghantar surat perletakan jawatan tersbut pada pagi tadi, surat tersebut telah diterima oleh wakil Ybhg Dato Setiausaha Sulit Kanan MB.

“Saya mohon jangan ada mana-mana pihak cuba mempolitikan isu ini demi kecintaan kita kepada semangat MN. Saya juga tidak menyimpan amarah mahupun dendam kepada sesiapa,” katanya.

Beliau seterusnya menambah akan memberi tumpuan kepada isu-isu sepertimana yang telah dilaksanalan sebelum ini.

“Marilah kita teruskan perjuangan membela agama, bangsa, rakyat, negeri dan negara yang kita sayangi ini dan dengan perletakan jawatan saya ini saya akan meneruskan dan menumpukan perjuangan Pergerakan Pemuda Kedah dalam menjuarai dan membantu isu isu rakyat sepertimana yang telah dibuktikan.

“Suara sebenar rakyat akan diutamakan melalui pemuda UMNO Kedah yang akan mengambil peranan sebagai pengimbang ‘check and balance’ Kerajaan Negeri Kedah.

“Saya juga akan menumpukan perhatian saya dalam mempersiapkan jentera Pemuda UMNO menghadapi PRU-15,” ujarnya.

Terdahulu beliau memberi penjelasan dan tindakan susulan atas isu yang berbangkit sejak seminggu lepas iaitu selepas saja menjadi pembahas usul mewakili Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 di PWTC. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.