Bangkit 15 Depani Cabaran Hadapi PRU Akan Datang – Hasan Arifin

BENTONG, 3 April – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri (BPUN) Pahang, Datuk Hasan Arifin berkata program Bangkit 15 yang dianjurkan oleh Biro Latihan Dan Pekaderan UMNO Malaysia merupakan satu agenda yang sangat penting untuk fahami, dihayati dan seterusnya bergerak serta bertindak ke arah untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) 15.

Ulasnya, kursus seperti ini sangat penting dan bermakna untuk negeri Pahang bagi membuat persiapan menjelang pilihan raya.

“Kita harus akui politik ini sangat rumit dan ia perlu penyelesaian di peringkat atas, menengah dan akar umbi bagi menangani masalah-masalah yang kita hadapi.

“Suasana politik sekarang ini agak rumit dan mencabar akibat kesan selepas PRU 14. Ia sangat penting dan memerlukan komitmen semua pemimpin untuk terus bergerak hadapi cabaran dan harus bertindak dengan bijaksana bagi menghadapi suasana ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Bangkit 15 Negeri Pahang yang turut dihadiri oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin dan Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said.

Ahli Parlimen Rompin seterusnya berharap agar segenap lapisan pemimpin negeri dapat menyelesaikan permasalahan negeri dan juga nasional bersama-sama demi mengukuhkan pentadbiran Pahang.

“Isu-isu nasional dan isu negeri harus ditangani bersama. Kita melihat dari luar Menteri Besar mentadbir kerajaan negeri dengan baik dan beliau dapat mengalunkan memerintah negeri dengan pendekatan politik yang bijaksana bagi membantu mengukuhkan negeri ini.

“Ini sangat penting dan parti juga harus dijaga dengan baik apatah lagi negeri Pahang ini memiliki kelebihan kewangan beratus-ratus juta dan ini membolehkan Menteri Besar mengatur dan menguruskan negeri ini berlandaskan elemen-elemen kepentingan parti untuk masa depan.

“Saya mempunyai keyakinan kita boleh mempertahankan kerajaan BN ini dimana UMNO ini tunjangnya bagi negeri ini. Walau macam mana pun kita kena bangkit,” tegasnya – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.