Kanak-kanak Autisme Ganjaran Istimewa Tidak Ternilai – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 2 April – Menjaga anak-anak autisme merupakan satu ganjaran pahala yang tidak ternilai, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, beliau mengerti bahawa menjaga serta membesarkan golongan istimewa ini merupakan satu cabaran yang sangat besar bagi ibu bapa.

“Saya juga mengerti betapa kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak autisme mereka tidak pernah luntur.

“Pengorbanan itu adalah pahala. Menjaga anak-anak syurga tanpa penah mengenal erti penat lelah dan penuh kesabaran,” katanya bersempena dengan Hari Kesedaran Autisme Sedunia yang disambut hari ini.

Pengerusi Barisan Nasional itu turut berkongsi bahawa anak-anak autisme ini mempunyai keistimewaan mereka yang tersendiri.

“Ramai berkata anak-anak autisme ada kelebihan yang mungkin kita tidak sedari atau belum ketahui kerana masa jua menentukannya.

“Didiklah, garaplah dengan penuh kasih dan sayang anak-anak ini. Jangan kita mengabaikan apatah lagi mendiskriminasi mereka,” ujarnya.

Beliau juga turut meluahkan kesyukuran kerana tahap kesedaran dan kepekaan masyarakat berkenaan autisme semakin bertambah.

“Yakinilah setiap ketentuan Allah S.W.T pasti ada hikmahnya. Insya-Allah ada ganjaran akan terlihat di kemudian hari.

“Namun fokus kepada peluang golongan autisme dalam apa jua bidang selepas persekolahan perlu terus diperkasakan.

“Sentiasa dalam perlindungan yang Maha Esa dan diberi rahmat yang berpanjangan,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.