Idea BN Sangat Diperlukan… Ternyata i-Sinar Bantu Rakyat, BNM Akui Beri Impak Positif – Zahida

KUALA LUMPUR, 2 April – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Zahida Zarik Khan berkata terbukti skim i-Sinar adalah satu lagi pendekatan mengurus krisis yang berkesan membantu rakyat.

Ujarnya, ia merujuk kepada kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) yang berkata i-Sinar telah memberi impak positif kepada ekonomi negara.

“Ini bukan UMNO yang kata, tapi BNM sendiri yang kata.

“Selain dari impak positif kepada ekonomi negara, di sebalik itu ia berikan manfaat berganda kepada rakyat dan sektor perniagaan.

“Idea-idea pemimpin Barisan Nasional (BN) sangat diperlukan. Sebab itu lah ramai yang sebut “rindu zaman BN”,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Malam tadi, media arus perdana melaporkan Timbalan Gabenor BNM Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata pengeluaran skim i-Sinar KWSP dilihat memberi impak langsung yang positif kepada ekonomi sebenar yang menyokong penggunaan domestik manakala dari segi simpanan persaraan, penampan perlu diperkukuh dan dibina semula.

Sebagai rekod, pada 11 Februari lalu, setelah menerima desakan daripada pelbagai pihak terutama UMNO dan BN yang mewakili suara rakyat, kerajaan akhirnya akur mengumumkan pemansuhan syarat i-Sinar KWSP bagi mempermudahkan ahli membuat pengeluaran dari simpanan akaun satu itu bagi membantu rakyat mendepani impak kemelut ekonomi akibat pandemik COVID-19.

Sebelum itu, KWSP telah menetapkan pelbagai syarat dan kriteria bagi ahli yang mahu memohon skim i-Sinar.

Mengulas lanjut, Zahida mengucapkan tahniah kepada pimpinan UMNO/BN yang secara konsisten perjuangkan isu KWSP dari awal hingga wang simpanan itu dapat digunakan ketika krisis COVID-19 sekarang.

“BN terus bantu rakyat,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.