Diperli, Dituduh Macam-macam Ketika Perjuangkan I-Sinar… Akhirnya BNM Akui Ia Beri Impak Positif Kepada Ekonomi

KUALA LUMPUR, 2 April – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata walaupun diperli dan dituduh macam-macam ketika parti memperjuangkan i-Sinar tanpa syarat namun akhirnya ternyata diperakui oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa skim tersebut mempunyai impak dan kesan positif kepada ekonomi negara.

Dr Asyraf juga bersyukur kerana tidak sia-sia perjuangan parti membela dan mengangkat suara rakyat berkenaan i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu.

“Insya-Allah Pemuda UMNO akan terus bersuara untuk rakyat. Teruskan beri pandangan dan menyuarakan apa sahaja kegelisahan semua yang mahu Pemuda ketengahkan sebagai Penyambung Lidah Rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Malam tadi, media arus perdana melaporkan Timbalan Gabenor BNM Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata pengeluaran skim i-Sinar KWSP dilihat memberi impak langsung yang positif kepada ekonomi sebenar yang menyokong penggunaan domestik manakala dari segi simpanan persaraan, penampan perlu diperkukuh dan dibina semula.

Sebagai rekod, pada 11 Februari lalu, setelah menerima desakan daripada pelbagai pihak terutama UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang mewakili suara rakyat, kerajaan akhirnya akur mengumumkan pemansuhan syarat i-Sinar KWSP bagi mempermudahkan ahli membuat pengeluaran dari simpanan akaun satu itu bagi membantu rakyat mendepani impak kemelut ekonomi akibat pandemik COVID-19.

Sebelum itu, KWSP telah menetapkan pelbagai syarat dan kriteria bagi ahli yang mahu memohon skim i-Sinar. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.