Dakwaan UMNO Lebih Tumpu Soal Politik Pandangan Mereka Yang ‘Pejamkan Mata’ – Shahrir

KUALA LUMPUR, 2 April – Tuduhan dan lontaran terhadap UMNO bahawa parti itu sekadar lebih kepada soal politik terjawab dengan penglibatan Wanita UMNO yang turun membantu mendaftarkan masyarakat awam untuk vaksinasi COVID-19.

Menerusi Facebook Ketua UMNO Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad atau lebih dikenali Tok Uban, beliau memaparkan kegigihan Wanita UMNO berada di tengah-tengah kelompok masyarakat membantu pendaftaran vaksinasi.

Shahrir secara sinis mengatakan mereka yang memejamkan mata dengan mengatakan UMNO menjurus kepada soal politik dan golongan ini adalah dari golongan elit.

“Sesiapa yang menuduh UMNO hanya tertumpu kepada politik lebih suka memejamkan mata mereka terhadap apa yang sedang berlaku di peringkat masyarakat biasa.

“Yang memejamkan mata mereka ini adalah dari golongan elit politik yang lebih selesa berjalan ke sana sini dalam kenderaan bernombor plat seakan nama mereka, berbincang sekumpulan elit dan bersuara seolah mewakili hasrat ramai,” katanya.

Kata beliau lagi Wanita UMNO terdiri dari mereka yang berada di tengah-tengah masyarakat, bersama dalam semua kegiatan masyarakat dan merasai segala kekurangan masyarakat.

“Kelebihan mereka kerana keinsafan mereka. Mereka memimpin diatas keinsafan mereka ini, bergerak sebagai suatu kumpulan menyatuni masyarakat. Kini, mereka berada ditengah-tengah masyarakat membantu untuk mendaftarkan warga biasa untuk vaksinasi COVID 19,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.