Segerakan Pelan Strategik Tarik Pelabur, Jangan Biar Terus Beralih Ke Negara Jiran – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 1 Apr – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata kerajaan harus segera menyediakan pelan strategik untuk menarik pelaburan selain memastikan tiada lagi pelabur-pelabur besar multinasional yang keluar mahupun berhijrah ke negara jiran.

Katanya, ini penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi tidak terencat sehingga mengurangkan penciptaan peluang-peluang pekerjaan baharu untuk rakyat.

“Salah satu perkara yang wajib dilakukan segera juga ialah menarik balik proklamasi Darurat secepat mungkin apabila keadaan COVID-19 berjaya dikawal kerana ia adalah antara faktor besar yang akan memberi kesan terhadap kepercayaan dan keyakinan pelabur,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Dalam status yang sama, Dr Asyraf turut melampirkan sekeping gambar beliau bersama Juruterbang Malindo Wan Affifi yang diberikan cuti tanpa gaji selama setahun kerana faktor ekonomi di kala pandemik COVID-19.

Tambah Dr Asyraf, Wan Affifi bersama tiga lagi rakannya turut menerima nasib sama ada dicutikan mahupun diberhentikan kerja dari Air Asia, MAS dan Air India, kini mengusahakan jualan rempeyek secara dalam talian untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Hakikatnya ratusan kisah-kisah sebegini Pemuda UMNO terima hampir setiap hari melalui dua Hotline Pemuda yang kami sediakan selain melalui mesej di pelbagai platform media sosial kami,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.