Parlimen Hanya 220 Anggota Tak Bersidang… Macam Mana Pemilihan UMNO 21,000 Cawangan Nak Dilaksana?

KUALA LUMPUR, 1 April – Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menegaskan bahawa demokrasi mesti dihayati untuk di peringkat atas sebelum minta rakyat bawahan melaksanakannya.

Beliau berkata demikian berikutan terdapat gesaan segelintir pihak untuk pemilihan UMNO dilaksanakan sedangkan, katanya Parlimen yang hanya 220 anggota tak boleh bersidang kerana data dan sains kata ramai ahli Parlimen yang tua-tua.

“Dalam UMNO, terutama di akar umbi lebih ramai yang tua-tua. Tak boleh larang kalau mereka nak turun mengundi. Hampir semua belum divaksin.

“Mungkin atas pertimbangan ini rakan-rakan dalam kabinet boleh bantu supaya kerajaan segera tarik balik darurat, tarik balik kompoun 10 ribu dan isytihar semua dah selamat. Parlimen mesti jadi contoh dan bersidang segera,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya berkaitan isu terbabit.

Terdahulu beliau menyatakan bersetuju dengan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ) yang menggesa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO supaya mengadakan pemilihan parti sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi menyelesaikan kemelut dalaman yang melanda parti itu.

“Banyak yang saya setuju dgn KJ. Kecuali beberapa hal. Semua berasas data dan sains. Pemilihan UMNO tak boleh ditangguh lepas PRU15 kerana tak tahu bila PRU15 diadakan. Paling lewat tahun 2023. Takkan nak tangguh beberapa kali lagi? Ini data dan sains. Saya setuju. Pemilihan lepas PRU tak jamin UMNO makin kuat. Bukti, kalah PRU 14 walaupun tak ada pemilihan sebelum itu. Ini pun data dan sains. Saya setuju.

“Hanya dari segi data dan sains bagaimana nak jamin mesyuarat agung di peringkat cawangan lebih selamat dari sidang Parlimen yang digantung fungsinya. UMNO ada lebih 21,000 cawangan seluruh negara dan 191 Bahagian.

“Dalam sistem UMNO, pemilihan mesti bermula dengan pemilihan di peringkat cawangan. Banyak cawangan keahliannya sekitar 500 orang. Di Johor ada cawangan melebihi 1000 ahli. Manakala di Sabah cawangan terbesar dalam Bahagian Libaran ada sampai 2700 orang ahli. Semua layak mengundi.”

Jelasnya, di peringkat Bahagian, perwakilan antara 700-2000 orang yang bergantung saiz ahli dan cawangan, malah di Sabah, ramai perwakilan perlu bergerak sehari sebelum pemilihan, dari kawasan pendalaman dan pulau-pulau yang jumlah perwakilan layak mengundi keseluruhannya 150,000 orang kerana mereka juga akan mengundi untuk kepimpinan Pusat.

“Ada pemilihan ada kempen. Dalam suasana darurat pasti mencabar. Macam nak buat kenduri kendara. Undi dalam talian belum ada peraturan. Kalau ada komplen, UMNO boleh diambil tindakan undang-undang.

“Untuk tahun ini, kalau pemilihan, mesti bermula bulan Mei ini di peringkat cawangan. Peringkat Bahagian pula sekitar dua bulan selepas itu. Masih dalam tempoh darurat.

“Banyak cawangan dan Bahagian seluruh negara tak ada dewan besar untuk penjarakkan. Kalau pemilihan tak boleh sekadar cukup korum dan kalau tersalah langgar SOP kena kompoun 10 ribu macam kes Neelofa, banyak siasatan akan dibuat,” ujarnya lagi.

Dilaporkan, Pemilihan UMNO sepatutnya diadakan pada tahun lalu selaras dengan Perhimpunan Agung UMNO 2020 namun terpaksa ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan akibat pandemik Covid-19.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada Januari lalu memaklumkan bahawa pemilihan UMNO bagi penggal 2021/24 akan berlangsung pada satu tarikh yang sesuai pada tahun ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.