Menteri UMNO Kekal Untuk Pastikan Usaha Tangani COVID-19, Pulihkan Ekonomi Dilaksana Dengan Baik

PUTRAJAYA, 31 Mac – Menteri-menteri daripada UMNO kekal dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk memastikan pengurusan menangani COVID-19 serta usaha memulihkan ekonomi dilaksanakan dengan baik, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Ahli Parlimen Tenggara itu berkata menteri-menteri daripada UMNO bertekad untuk bersama-sama kerajaan sekarang bagi memastikan semua usaha yang telah digariskan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Kita (UMNO) kekal dalam Kabinet untuk bantu negara dan memastikan setiap agenda sedia ada dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Nota Kerjasama antara Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini, hari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata semua menteri daripada UMNO akan terus kekal dalam Kabinet kerajaan PN setelah kesepakatan itu dicapai dalam pertemuannya dengan menteri-menteri daripada UMNO pada Isnin yang meminta nasihat berhubung kedudukan mereka dalam Kabinet.

Dr Adham berkata menteri-menteri daripada UMNO mempunyai tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan dalam pengurusan pandemik COVID-19 umpamanya Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menguruskan kebanyakan isu keselamatan.

Beliau sendiri menguruskan hal ehwal pandemik COVID-19 dan pengurusan kesihatan manakala Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pula selaku Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan terlibat dalam program vaksinasi.

“Ini sangat penting dan perlu diberi keutamaan,” katanya.

Ditanya sama ada tindakan kekal dalam Kabinet melanggar ketetapan parti, Dr Adham berpendapat ia tidak salah kerana usul yang diputuskan adalah untuk UMNO memutuskan kerjasama dengan Bersatu apabila berhadapan dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

Pada Ahad, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata usul memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu yang menerajui kerajaan Perikatan Nasional itu dipersetujui sebulat suara oleh perwakilan parti yang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2020. – BERNAMA