Hormati Keputusan PAU 2020, Pertikaian Tak Membawa Faedah – Armand Azha

KUALA LUMPUR, 31 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah memohon ahli parti untuk menghormati keputusan yang dilakukan semasa Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung baru-baru ini.

Katanya, sebarang pertikaian tidak seharusnya terjadi kerana ianya tidak memberikan faedah kepada masa hadapan parti.

“Janganlah kita teruskan mempertikaikan satu sama lain membuat lagi keretakan kerana jika ini berterusan ini mendatangkan situasi yang tidak baik.

“Kalau kita berterusan bercakaran mempertikaikan satu sama lain mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak baik dengan menviralkan berita2 yang tidak sahih akhirnya ini akan merosakkan parti keramat UMNO kita,” katanya menerusi satu hantaran video di Facebook.

Armand yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang berkata, UMNO sebagai sebuah parti yang berpengalaman hampir 75 tahun seharusnya menunjukkan sisi yang matang dalam mendepani politik.

Tambah beliau, apatah lagi rakyat menjadi saksi dengan sebarang tindakan yang dilakukan.

“Masyarakat dan rakyat di luar sana yang bukan terlibat dalam parti politik. Mereka hari ini menilai, melihat bagaimana kita sebagai sebuah parti besar.

“Sebuah parti yang mempunyai pengalaman menangani situasi yang kita hadapi hari ini.

“Bagaimana mendapat sokongan dokongan keyakinan mereka? Tidak ada cara lain hanya melalui cara pendamaian, penyatuan, pengukuhan dan perpaduan dalam parti kita,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.