Wanita UMNO Akur Keputusan MKT –Noraini

KUALA LUMPUR, 29 Mac – Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menegaskan bahawa  Wanita UMNO Malaysia akur dengan segala keputusan  yang  dibuat di dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT).

Menurutnya, Wanita UMNO akan terus memberikan kepercayaan kepada institusi Presiden agar UMNO menjadi dominan pilihan rakyat.

“Sebagai ahli parti, kami tetap akur dengan keputusan untuk tidak bersama Dap, PKR dan PPBM dalam PRU-15 akan datang seterusnya UMNO kekal bertanding atas logo Barisan Nasional.

“Wanita UMNO sekali lagi ingin menegaskan akan terus memberi kepercayaan kepada Presiden parti dan Ahli MKT dalam meneliti, mengkaji dan membuat keputusan politik yang terbaik demi memastikan UMNO kembali menjadi pilihan rakyat dan pengundi.

“Wanita UMNO percaya apa pun keputusan UMNO, ia adalah untuk memastikan kepentingan dan kedudukan parti kerana UMNO adalah sebuah pertubuhan yang bukan sahaja memperjuangkan orang Melayu, Islam dan Raja-raja tetapi menyatukan semua bangsa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong yakin dan percaya Wanita UMNO akan sentiasa memberikan sepenuh tenaga tanpa berbelah bagi terhadap perjuangan UMNO.

“Sebagai tulang belakang parti, Wanita UMNO akan sentiasa memberikan seluruh komitmen terhadap perjuangan tanpa belah bagi,” ujarnya – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.