UMNO Terbuka Kerjasama Dengan Mana-Mana Parti Selepas PRU15 – Tajuddin

KUALA LANGAT, 29 Mac – UMNO terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti atau gabungan lain bagi membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau berkata buat masa ini parti itu muktamad tidak akan berunding untuk bekerjasama dengan PKR, DAP, dan Bersatu untuk mendepani PRU-15.

“…selepas PRU-15 kita tengok bagaimana keadaan, sesiapa yang masa itu berminat untuk bekerjasama, dan ia membawa manfaat kepada UMNO, rakyat dan negara, kita terbuka untuk menubuhkan kerajaan.

“UMNO dari dulu tidak tamak, bila tubuhkan kerajaan Barisan Nasional kita kongsi dengan MCA, MIC dan parti lain termasuk dari parti pribumi Sabah dan Sarawak,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja meninjau kemajuan projek pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) di Johan Setia termasuk melawat kuarters pekerja Centralised Labour Quarters (CSL) dan kilang pengacuan ‘U-Through Girder’ di Bandar Saujana Putra di sini, hari ini.

Ditanya sama ada beliau bersedia melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad, Tajuddin berkata: “Saya akan kekal dalam kerajaan sehingga Parlimen dibubarkan, kerana ia adalah pendirian parti saya. Jadi soal berapa lama saya akan berada dalam kerajaan – ia bergantung kepada berapa lama masa diambil untuk membubarkan Parlimen”.

“Kalau esok dibubarkan, saya terkeluar dari kerajaan, tapi kalau kata sampai bulan Ogos.. Ogoslah, kalau tahun depan, tahun depanlah, kita tidak tahu bila,” katanya. – BERNAMA

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.