Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 Garis Lima Teras Strategik

IPOH, 29 Mac – Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 yang dilancarkan hari ini menggariskan lima teras strategik bagi menentukan hala tuju pentadbiran kerajaan negeri.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata lima teras itu ialah keseimbangan pembangunan fizikal dan sosioekonomi, kerjasama pintar, kelestarian penggunaan sumber dan alam semula jadi, sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap dan ambil peduli, serta kepakaran berkualiti dan bernilai tinggi.

Beliau berkata teras strategik pertama adalah komitmen kerajaan negeri untuk melengkap serta menambah baik kemudahan prasarana di kawasan bandar dan luar bandar dengan mengambil kira kekuatan setiap kawasan dan daerah bagi mencapai matlamat keterangkuman wilayah.

“Projek lebuh raya adalah contoh projek berimpak tinggi yang menyumbang kepada pembangunan koridor di sepanjang laluan jalan atau lebuh raya yang dibangunkan. Ia memberi kesan langsung kepada penduduk selain memberi kesan tidak langsung kepada pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya ketika berucap melancarkan pelan pembangunan berkenaan hari ini.

Menurutnya teras strategik kedua pula akan menjadikan kerjasama pintar sebagai satu daripada pendekatan untuk memacu pembangunan negeri melibatkan kerjasama sektor kerajaan dan swasta merangkumi aspek pembangunan infrastruktur, ekonomi, sosial, perumahan dan pelancongan.

Saarani berkata inisiatif itu wajar diperkasa kerana ia bukan sahaja mampu melonjakkan produktiviti, tetapi juga dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan mengukuhkan kedudukan fiskal supaya peruntukan kerajaan sentiasa mencukupi bagi menyokong perkembangan ekonomi.

“Bagi teras strategik ketiga, kerajaan negeri memandang berat isu keseimbangan antara penerokaan dan penggunaan sumber bumi secara lestari. Kekayaan negara, kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar adalah tiga komponen utama perlu diambil kira dalam setiap projek pembangunan,” katanya.

Bagi sistem penyampaian yang cekap dan ambil peduli Saarani berkata kerajaan perlu merangka pendekatan baharu penyampaian perkhidmatan bagi memastikan persekitaran sistem sedia ada seiring dengan kehendak rakyat, perubahan ekonomi dan perkembangan teknologi semasa.

Menurutnya kerajaan negeri juga akan memperkenalkan insentif tertentu yang mampu menarik golongan tenaga pakar pulang ke negeri ini selain di samping memperbaharui ekosistem pekerjaan sedia ada agar bertepatan dengan keperluan bidang pekerjaan berkemahiran dan bernilai tinggi.  – BERNAMA

 

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.