PAU 2020 Dan Ketetapan Hala Tuju

Alhamdulillah, berakhir sudah PAU 2020, persidangan yang cukup luar biasa – bukan sahaja kerana suasana normal baharu, tetapi juga luar biasa kerana telah memutuskan beberapa perkara besar yang merencana halatuju parti.
2. Setelah Ucapan Dasar Presiden dan perbahasan-perbahasan jurucakap negeri, usul rasmi yang diterima sebulat suara mengandungi ketetapan berikut:
Tiada kerjasama dijalinkan dengan PPBM untuk PRU15.
Ini menjadi keputusan dasar parti yang muktamad.
3. Dengan keputusan itu dan mengambil maklum kesediaan PPBM untuk bertanding di kerusi-kerusi yang sama, UMNO akan terus berikhtiar meningkatkan persiapan untuk pertandingan yang akan berlaku kelak.
4. Menyedari bahawa
– bukan UMNO yang memutuskan bila pembubaran Parlimen dan PRU akan berlaku, dan
– terdapat tanda-tanda usaha untuk melanjutkan tempoh pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional melebihi tempoh yang dipersetujui UMNO,
maka:
Selain usul rasmi, di hujung persidangan, para perwakilan memberi mandat kepada MKT untuk menentukan waktu dan ketika sesuai untuk arahan parti dikeluarkan kepada Ahli-ahli Parlimen dan Menteri UMNO menarik sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional.
5. Kenyataan beberapa Menteri UMNO yang menyatakan kesediaan mereka untuk meletakkan jawatan pada waktu yang diarahkan oleh parti wajar dilihat sebagai petanda positif kesepakatan untuk akur kepada keputusan parti.
6. Wujud cadangan dari jurucakap negeri bahawa tarikh penarikan sokongan seharusnya bulan Ogos, iaitu sebaik sahaja tamat darurat. Perkara ini turut diulas Timbalan Presiden dalam ucapan penggulungannya.
Cadangan tarikh Ogos tersebut akan diperhalusi oleh kepimpinan parti. Untuk mengelak sebarang keraguan, mandat yang diberikan kepada kepimpinan parti tidak terikat kepada satu tarikh iaitu Ogos semata-mata.
7. Tentunya kepimpinan UMNO akan mengkaji segala sudut bukan hanya demi kepentingan parti tetapi juga rakyat dalam membuat keputusan tarikh tersebut.
8. Berkaitan pertalian dengan parti-parti lain, usul dan ucapan dasar Presiden menetapkan bahawa tiada kerjasama PRU15 dengan PKR, DAP dan seperti yang telah ditegaskan, PPBM.
9. Pada masa sama, ucapan dasar Presiden juga jelas menyerlahkan hasrat UMNO untuk terus menjalinkan kerjasama dengan PAS, tanpa ia memberi kesan kepada keputusan-keputusan lain diatas.
10. Dengan segala ketetapan yang telah dicapai dalam PAU 2020, pertikaian halatuju parti seharusnya dinoktahkan.
Jutaan terima kasih saya sampaikan kepada seluruh perwakilan yang mengikuti persidangan bersejarah ini baik di WTC Kuala Lumpur atau di bahagian masing-masing.
Penghargaan tak terhingga juga kepada urusetia, pegawai, Skuad Sabil dan semua pihak yang menjayakan PAU2020 dari belakang tabir.
Kepada yang pulang ke kawasan masing-masing, saya doakan agar anda semua selamat sampai ke destinasi berbekal semangat baru untuk menjayakan agenda parti, melalui usaha memperoleh sokongan dari rakyat.
SHAHRIL HAMDAN
KETUA PENERANGAN UMNO MALAYSIA
@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.