Pasca PAU 2020 : Wanita UMNO Sedia Gerak Langkah Depani Cabaran – Norshida

KUALA LUMPUR, 29 Mac – Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang telah melabuhkan tirainya semalam  menzahirkan satu dasar besar setelah diputuskan menerusi sebulat suara berkaitan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berkata keputusan lain juga dicapai khususnya ketetapan yang telah diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum ini.

“Setiap mandat dan keputusan MKT serta suara-suara akar umbi perlu diberikan keutamaan dalam menentukan hala tuju parti erti kata yang sebenar. Kita ada ahli dan jentera parti yang berpengalaman seharusnya kita tidak perlu gentar untuk membuat keputusan yang drastik.

“Parti kita adalah parti bermaruah, sampai bila harus diperkotak- katikkan dan kita harus bersama-sama bergerak ke depan dengan lebih padu dan bermuafakat pelbagai peringkat,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Mengenai ucapan yang menyentuh kesetiaan Wanita terutamanya Ketua Wanita UMNO Malaysia, Norshida yang juga Ketua Wanita UMNO Segamat seterusnya berkata sudah pasti sedikit sebanyak menyentuh perasaan hati kecil Wanita, namun dengan kenyataan susulan daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ianya telah menyejukkan hati para pejuang Wanita UMNO.

Katanya mereka mengambil ianya sebagai lumrah dan asam garam dalam politik malah dijadikan pembakar semangat untuk Wanita UMNO bergerak menghayun langkah bersama parti dan pada masa yang sama  tidak akan mematahkan semangat Wanita yang sekian lama penuh setia, bekerja keras tidak mengira waktu menjadi teman ketika parti dalam susah mahupun senang.

“Bukanlah untuk kami Wanita UMNO mengungkit malah jauh sekali untuk membangkitkan segala keringat yang dicurahkan selama ini tetapi itulah hakikatnya Wanita UMNO setia dan tetap setia.

“Ingin ditegaskan, Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Noraini Ahmad dan barisan kepimpinan lain semasa Perhimpunan Agung Wanita UMNO pada Sabtu lalu telah menyatakan ikrar untuk bersama parti dan sanggup mengorbankan apa jua kedudukan, pangkat untuk membuktikan kesetiaan kami kepada parti keramat ini.

“Marilah kita dakap perjuangan ini… marilah kita sama-sama hayun langkah dan gerak sederap memecah segala cabaran serta gelombang yang ada di depan dalam merealisasikan UMNO sebagai sebuah perjuangan. Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat adalah cogankata yang sentiasa terpahat kemas dihati sanubari kami,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.