Seribu Satu Impian UMNO Siswa Ingin Melihat UMNO Terus Berlayar Megah Laksana Perjuangan

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Perjuangan UMNO Siswa adalah lahir dari anak-anak muda yang berwawasan, beridealisme dan menghimpunkan seribu impian untuk generasi muda.

Demikian menurut jurucakap Mahasiswa, Nur Syareeza Abdullah merasa bangga dan teruja UMNO Siswa ini semakin jelas dalam perjuangannya.

“UMNO Siswa ini bagai kain putih, yang perlahan-lahan dicorakkan sehingga semakin jelas lukisan perjuangannya. Bagaikan bayi yang baru lahir, kami meniarap, merangkak, kemudian bertatih, berjalan dan hari ini kita mampu berlari seiring dengan perjuangan parti.

“Kami rasa sangat beruntung, bersyukur dan teruja kerana hari ini adalah harinya. Hari yang menghimpunkan seribu satu impian dan azam melihat kapal ini (UMNO) menjadi kapal yang terus berlayar megah.

“Kami ingin menyampaikan bahawa perjuangan membela agama, bangsa dan tanah air ini tidak hanya dipikul dibahu kakanda-kakanda Puteri atau Pemuda semata-mata, ianya juga beban dan tanggungjawab yang mesti dipikul oleh kami mahasiswa,” katanya ketika berbahas pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, kehadiran UMNO Siswi ini adalah bukti bahawa UMNO telah bermula dan sedang diremajakan.

“UMNO ini perlukan nafas baharu, UMNO perlukan rejuvensi. Mahasiswa mahasiswi percaya, dengan pengenalan lebih ramai calon muda ini akan terus meningkatkan imej parti UMNO sebagai sebuah parti yang mesra orang muda.

Dalam pada itu Penolong Setiausaha Puteri UMNO Negeri Sembilan, Nor Haliza Zainal Abidin berkata kejatuhan ekonomi negara memberi kesan kepada golongan muda dan yang sudah berkeluarga.

“Harga barangan yang kian meningkat menyebabkan ekonomi keluarga perlu lebih utuh. Oleh yang demikian, jika wanita yang dahulunya adalah hanya suri rumah, kini mereka merasa bertanggungjawab untuk membantu suami menjana pendapatan sampingan demi kesejahteraan keluarga mereka.

“Kerajaan perlu laksanakan bajet khas khusus untuk pembangunan wanita seperti latihan jangka masa singkat untuk memulakan perniagaan atas talian (online) dan kecil-kecilan. Ini bagi membantu mereka mencari sumber kewangan alternatif untuk meneruskan kehidupan.

“Wujudkan Geran Khas Wanita Muda yang mana ianya dikhusukan kepada wanita muda berumur 45 tahun ke bawah. Melibatkan mereka yang telah mempunyai perniagaan, yang ingin mengembangkan perniagaan, hatta yang baru berjinak-jinak dalam perniagaan pun turut diberi kelayakan memohon,” ujarnya – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.